Radio Televisyen Malaysia (RTM) kini secara terbuka menerima permohonan maaf oleh seorang pemilik akaun TikTok bernama @syukfendi berhubung penularan imej pembaca berita mereka yang menakutkan.
Individu terbabit telah memuat naik rakaman siaran lintas langsung Berita Wilayah bagi zon Selatan dari studio RTM Melaka yang bersiaran jam 5 petang semalam.
Baca Juga:
- Gambar Buka Purdah Itu Adalah NeelofAi Bukan Neelofa
- Konsert Bring Me The Horizon Di Jakarta Huru-Hara, Penonton Sampai Naik Ke Pentas
Rakaman berdurasi 18 saat itu memaparkan penyampai berita RTM Melaka, Nor Amalina Abdul Halim seperti disolek menyerupai pelakon filem seram Indonesia, mendian Suzanna.
Timbalan Pengarah Berita Ehwal Semasa RTM, Md Shahri Saripan berkata, hasil semakan pasukannya mendapati rakaman video asal berita terbabit disiarkan menerusi platform RTMklik dan siaran di televisyen pada petang hari berkenaan tidak seperti yang ditularkan.
“Video yang tular itu seolah-olah disunting semula, terutama solekan di bahagian lingkaran mata penyampai berita berkenaan.
“RTM khususnya bahagian berita cukup terbuka dalam menerima pandangan, teguran atau nasihat orang ramai sebagai penonton setia semua program terbitan stesen ini.
“Bagaimana pun pandangan atau perkara yang sengaja ditularkan dengan sedikit tokok tambah adalah satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab,” katanya menerusi kenyataan.
Tambah Md. Shahri, pihaknya tidak berhasrat untuk mengambil tindakan selanjutnya selepas individu terbabit memuat naik kenyataan maaf di platform media sosial tersebut.
Beliau bagaimana pun mengingatkan pengguna-pengguna media sosial khususnya TikTok lebih cakna dan bijak dalam memuat naik hantaran di akaun masing-masing pada masa hadapan.
Berdasarkan semakan kami, akaun TikTok terbabit telah pun dikunci dan video sudah pun tidak dijumpai lagi. Sementara netizen pula mengecam tindakan individu terbabit kerana telah mencemarkan nama orang lain demi kepentingan peribadi.