Seperti sedia maklum, duit KWSP yang kita carum sepanjang berkerja itu boleh dikeluarkan apabila mencapai had umur tertentu. Wang caruman yang boleh mencecah ratusan ribu ringgit itu pasti mampu membuatkan sesetengah individu menjadi tidak rasional lalu menghabiskan dalam sekelip mata.
Ini yang diceritakan oleh seorang pengguna Facebook bernama Tuan Imlan Adabi berkenaan seorang kenalannya yang telah menghabiskan sejumlah wang besar duit KWSP dalam masa 3 tahun sahaja.
Difahamkan wang KWSP sebanyak RM700,000 hasil berkerja selama 30 tahun lalu telah habis dalam masa 36 bulan sahaja.
Mana tidaknya, individu itu mengamalkan sikap boros keterlaluan akhirnya memakan diri setelah dia terpaksa keluar bekerja di usia emasnya.
Imlan memaklumkan bahawa dia sering memberi nasihat kepada kenalannya bahawa perlu membuat simpanan dan bukan tugas anak-anak untuk menanggung orang tua yang boros namun tidak diendahkan sejak 25 tahun lalu.
Bak kata pepatah nasih sudah menjadi bubur, kini individu tersebut terpaksa bekerja semula di umur 70 tahun kerana terdapat komitmen besar seperti kad kredit dan pinjaman rumah. Selain menyesal, dia turut menyalahkan anak cucu kerana tidak memberikan wang bulanan seperti yang diharapkan.
Realitinya, mereka sendiri mesti terbeban untuk memenuhi keperluan dan komitmen peribadi lebih-lebih lagi yang sudah berkeluarga.
Bagi tuan Imlan pula, dia dan isteri sentisa beringat bahawa mereka tidak boleh terlalu berharap kepada anak-anak untuk menanggung kehidupan di kemudian hari.
Katanya lagi, untuk hidup selesa selepas bersara, kita perlu RM1 juta. Itupun belum mengambil kira inflasi dan juga kos sara hidup pada tahun-tahun mendatang yang pasti memerlukan sejumlah wang yang lebih besar untuk digunakan pada sisa-sisa terakhir kehidupan kita.
Malah, dia turut sempat berpesan kepada anak-anaknya sejak di peringkat awal untuk menabung. Walaupun tidak kaya, bagi mereka cukuplah mempunyai simpanan sedikit bagi menghabiskan sisa-sia kehidupan di usia senja.
Tidak mahu menyusahkan orang lain, dia juga hanya mengharapkan doa daripada anaknya dan wang saku dilihat sebagai bonus.
Berkenaan kewujudan akaun terbaru dalam sistem KWSP, Tuan Imlan juga mengingatkan orang ramai agar tidak mengusik simpanan berkenaan.