Volkswagen sedang merancang untuk menutup kilangnya di Jerman buat pertama kali dalam sejarah 87 tahun syarikat gergasi automotif itu selepas rugi disebabkan pasaran kenderaan elektrik (EV) yang semakin popular, lapor Fortune.

Langkah mengejut ini hadir ketika syarikat sedang berdepan dengan tekanan dari segi peralihan ke EV dan penurunan permintaan pengguna di Eropah.

Volkswagen sebelum ini mencatat pendapatan sebanyak $348 bilion dan penghantaran 9.24 juta kenderaan pada tahun lalu, kini sedang berhadapan dengan cabaran besar untuk mengekalkan keuntungan dalam pasaran yang semakin kompetitif.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Volkswagen, Oliver Blume, tidak berselindung dengan menyalahkan persekitaran ekonomi Jerman yang semakin mencabar sebagai salah satu faktor utama di sebalik cabaran ini.

“Persekitaran ekonomi semakin sukar dan pesaing baharu banyak yang masuk ke Eropah,” kata Blume dalam satu kenyataan pada hari Isnin.

“Jerman khususnya sebagai lokasi pembuatan semakin ketinggalan dari segi daya saing. Dalam keadaan ini, kami sebagai syarikat perlu bertindak dengan tegas.”

Volkswagen kini terdesak untuk mengurangkan kos sebanyak €10 bilion, yang termasuk pengurangan 20% dalam kos kakitangan pentadbiran.

Sebahagian daripada langkah tersebut termasuk menawarkan pakej bersara awal kepada pekerja dan melaksanakan pembekuan pengambilan pekerja baharu.

Malah, mereka juga menawarkan bonus khas sebanyak €50,000 kepada pekerja yang bersetuju untuk berhenti.

Namun, cadangan penutupan kilang di Jerman ini mungkin akan mencetuskan konflik dengan kesatuan pekerja.

Menurut laporan dari Wolfsburger Allgemeine Zeitung, pengumuman ini mungkin mencetuskan pertelingkahan besar antara pihak pengurusan dan kesatuan pekerja, terutama dengan adanya perjanjian di antara dua pihak sehingga tahun 2029.

Ketua Pegawai Eksekutif jenama Volkswagen, Thomas Schäfer, mengakui bahawa pelan penjimatan yang dirangka sebelum ini tidak mencapai sasaran yang diharapkan.

Walaupun Volkswagen masih menjadi kuasa besar global dengan tenaga kerja seramai 650,000 orang di seluruh dunia, termasuk 300,000 di Jerman, langkah untuk menutup kilang di negara asal pastinya akan menjadi cabaran besar bagi Blume.

Tiga CEO Volkswagen terdahulu juga gagal mencapai kejayaan dalam usaha mengurangkan kos, dan kini beban tersebut jatuh ke atas bahu Blume.

Keputusan akhir sama ada penutupan kilang akan berlaku atau tidak, bergantung kepada kemampuan Blume untuk berunding dengan kesatuan pekerja yang juga mempunyai wakil dalam lembaga pengurusan Volkswagen.