Semalam kita dikejutkan dengan kediaman Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham di Taman Semarak Jaya di Ayer Tawar terbakar pada awal pagi Rabu. Difahamkan bahawa kejadian berlaku sekitar jam 3 pagi itu tidak mengorbankan nyawa dan hanya melibatkan garaj kereta di bahagian depan rumah.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Tawar, Mohd Zaki Mokhtarmin berkata, ketika kejadian, wakil rakyat DAP itu dan isteri berada di rumah berkenaan, namun tidak mengalami sebarang kecederaan.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Menurutnya, kebakaran telah mengakibatkan sebuah kereta Mercedes Benz E300 terbakar 80 peratus, manakala Honda CRV dan Toyota Hilux masing-masing mengalami lima peratus kebakaran.

Kejadian ini juga telah mendapat perhatian pimpinan negara yang lain. Ahli politik dari pelbagai parti serta jemaah menteri mengutuk sekeras-kerasnya tindakan jenayah membakar kediaman Ahli Parlimen Beruas tersebut.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil yang juga Menteri Komunikasi berkata, Jemaah Menteri mengingatkan seluruh rakyat agar bertindak berlandas undang-undang termasuk dalam mengurus perbezaan pandangan.

Manakala Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata perbezaan pendapat bukanlah ‘lesen’ bagi sesetengah pihak untuk bertindak melampaui batas apatah lagi hingga mengancam nyawa dan keselamatan.

Rakyat Malaysia Sudah Jadi Esktremis?

Bagaimanapun, apa yang kurang enak adalah komen-komen yang ditinggalkan rakyat Malaysia mengenai kejadian tersebut. Kebanyakannya seolah-olah ‘menghalalkan’ apa yang terjadi ke atas Ahli Parlimen Beruas tersebut.

Melalui perkongsian @connerylazenby di laman X/Twitter, beliau sempat menangkap layar beberapa komen di laman sosial Facebook yang ‘meraikan’ kejadian tersebut.


Ada yang seolah-olah menyalahkan Ahli Parlimen tersebut, kononnya dia yang bakar rumahnya sendiri, sebahagian pula menggunakan kata-kata agama untuk bersyukur atas kejadian tersebut.

Melihat kepada komen tersebut, ada rasa takut bahawa negara seolah-olah diduduki oleh mereka yang taksub dengan politik serta memegang fahaman ekstremis.

Jika perkara ini tidak dibendung, ia bukan sahaja membahayakan masa hadapan negara. Tetapi juga melahirkan rakyat Malaysia yang berhati ‘zionis’.