Kediaman seorang usahawan wanita yang juga pempengaruh di ibu negara dipecah masuk, mengakibatkan kerugian lebih RM3.5 juta.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata kejadian didakwa berlaku di Padang Balang, Sentul kira-kira jam 10 malam.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat sebuah peti besi mengandungi jongkong emas dan wang tunai  kira-kira RM3 juta dilarikan penjenayah,” katanya.

Selain daripada itu, beberapa beg tangan berjenama dan barangan kemas milik ahli keluarga turut dilarikan. Jumlah keseluruhan kerugian dianggarkan mencecah RM3.5 juta.

Ashari berkata, suspek dipercayai bertindak merosakkan kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang pada rumah mangsa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes berkenaan untuk menghubungi IPD Wangsa Maju di talian 03-9289 9222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Sumber