Sime Darby Property Bhd diarah membayar pampasan kira-kira RM4.8 juta kepada enam pemilik banglo atas kecacatan harta benda mereka di Bukit Jelutong.

Laporan Free Malaysia Today menyatakan hakim Mahkamah Tinggi ketika itu Datuk Wong Kian Kheong membuat keputusan itu selepas keenam-enam itu telah membuktikan kes mereka.

Wong, yang kini hakim Mahkamah Rayuan turut menganugerahkan kos RM560,000 kepada plaintif dan faedah pada kadar lima peratus yang dikira sehingga pembayaran penuh jumlah penghakiman.

Enam pemilik itu memfailkan saman mereka pada 2017 terhadap pemaju untuk kos pembetulan kecacatan pada unit mereka.

Pemaju dalam pembelaannya, berhujah bahawa tiada kecacatan dan menegaskan bahawa sebarang kekurangan telah dibaikpulih.

Mahkamah dalam keputusannya tidak bersetuju dengan penegasan pembelaan bahawa kecacatan itu disebabkan oleh pengubahsuaian yang dilakukan oleh pembeli.

Pemaju telah merayu terhadap keputusan itu, yang dijadualkan didengar di mahkamah rayuan pada 29 Okt tahun ini.