Pada Julai tahun lalu kami pernah menyiarkan perkongsian sukarelawan Khairul Jamain yang menceritakan tentang komuniti Bajau Laut yang dibantunya pada 2019 di Semporna, Sabah.
Dalam perkongsian sebelum ini beliau dengan panjang lebar menceritakan tentang pengalamannya membantu komuniti di sana terutama daripada aspek pendidikan dan survival hidup sepanjang enam bulan bersama mereka.
Kini selepas setahun, perkongsian beliau kembali tular di media sosial apabila ia menjadi buah mulut di Twitter dan ada yang mencecah sehingga lebih 30,000 retwet (perkongsian kembali).
Bila dilihat kembali, rupanya ada cerita terbaru daripada sukarelawan ini yang dimuat naik melalui akaun Instagramnya yang tidak diceritakan sebelum ini.
Paling mencuri tumpuan dalam perkongsian terbaru yang dinamakan Misi Cemas 4.0 ini adalah sisi gelap yang terpaksa dilalui oleh komuniti Bajau Laut di Sabah ini.
Jika sebelum ini beliau menceritakan mengapa komuniti di sana ‘takut’ akan pensel dan kertas, kali ini beliau menceritakan bagaimana mereka di sana ditipu ketika berurus niaga dan ada juga yang terpaksa mengambil upah untuk membeli dadah.
Kalau tak mahu, biarlah busuk di situ
Mahu mengetahui lebih lanjut mengenai perkara itu, pihak kami kemudiannya menghubungi sendiri beliau untuk mendengar sendiri mengenai pengalaman yang dikongsikan beliau baru-baru ini.
Menjelaskan mengenai perkara itu, beliau memberitahu masyarakat Bajau Laut sememangnya bergantung kepada hasil laut dan sudah menjadi lumrah untuk menjual hasil yang dicari mereka itu kepada orang luar.
“Yang kita sedia maklum komuniti Bajau Laut ini pencarian utama mereka adalah hasil laut dan hasil laut itu mereka harus jual kepada orang luar untuk mendapatkan duit bagi membeli keperluan harian.
“Yang menjadi persoalannya mereka sering ditipu. Contohnya satu guni rumpai laut bernilai RM50 tetapi pemborang selalu mengambil dengan harga RM10. Dengan alasan kalau kau tak mahu biarlah rumpai itu busuk disitu.
Walaupun perkara itu mungkin jarang-jarang berlaku dalam komuniti dan masyarakat lain dalam negara namun beliau menambah perkara itu sebenarnya adalah sesuatu yang normal bukan sahaja di Sabah malah di seluruh dunia.
Ini kerana menurutnya bila sesuatu komuniti itu tidak mendapat pendidikan mara mereka sering akan ditipu hanya kerana dikatakan mereka tidak tahu mengira.
“Dalam hal jual beli ini biasa mereka mengambil lebih murah dan bila dipertikaikan mereka kata komuniti itu tidak tahu mengira,” jelasnya kepada The Vocket.
Justeru itu beliau mengambil inisiatif untuk mengajar kemahiran mengira kepada komuniti Bajau Laut ini agar mereka tidak lagi ditipu dalam aspek kehidupan mereka terutama bila menjual hasil laut yang diperolehi kepada orang luar.
“Harapannya mudah supaya tidak ditipu, tetapi yang lebih penting pihak atas harus memandang mereka sebagai satu eset pelancongan dan membangunkan komuniti ini dengan lebih baik,” katanya lagi.
Malah beliau pada sama juga turut berharap agar nasib komuniti akan lebih terbela dan pihak yang berwajib memberikan mereka peluang untuk belajar dan menyediakan fasiliti pendidikan buat komuniti ini.
Jelasnya tiada siapa yang mahu dilahirkan dalam keadaan sedemikian dan mereka seharusnya tidak terus diabaikan kerana menurutnya ‘nilai manusia adalah semua sama tiada beza’.
“Aku berharap suatu hari nanti nasib mereka akan terbela, siapa yang mahu dilahirkan begitu dan pihak berwajib memberi mereka peluang membangunkan komuniti mereka dengan lebih baik.
“Sediakan fasaliti pendidikan yang sebenar dan jangan biarkan mereka begini, sampai bila mereka harus begitu, nilai manusia semua sama tiada beza,” luahnya.
Buat anda yang masih tidak mengenali beliau, Khairul Jamain adalah sukarelawan dan juga usahawan. Mula keluar mengembara dan melakukan kerja-kerja kesukarelawan di serata dunia, beliau pada 2019 telah ditempatkan selama enam bulan di Semporna untuk membantu komuniti Bajau Laut di sana.
Untuk tahun ini pula, pasukan sukarelawan yang disertainya telah pun membantu penduduk di lima buah pulau yang melibatkan 600 buah rumah ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pertama sebelum ini.
Manakala untuk tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan ketika ini pula, pasukan mereka yang disertai Imapactive Malaysia, Scuba Buddy Mabul, Harmoni Mission serta syarikat yang diusahakannya Cerita&Co juga telah berjaya meraih sumbangan sehingga RM20,000 untuk membantu komuniti penduduk di sana.
Baca juga perkongsian beliau sebelum ini tentang komuniti Bajau Laut yang takut akan pensil dan kertas melalui pautan di bawah.
Lelaki Ini Kongsi Mengapa Anak Muda Bajau Laut ‘Takut’ Pada Pensel Dan Kertas
KPM Tumpu Selesaikan Isu ‘Sekolah Tumpang’ Di Sabah Untuk Keselesaan Murid
Budak Ini Beri Pengajaran Bermakna Buat Dua Lelaki Saat Diuji Pengetahuan Matematik