Kecoh baru-baru ini apabila Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan arahan mengejut di mana mulai 10 Oktober nanti, rakyat Malaysia yang belum mendaftar aplikasi MyDigital ID tidak boleh lagi masuk ke aplikasi MyJPJ, lapor BFM.

JPJ mengumumkan bahawa semua pengguna kini wajib ada MyDigital ID sebagai kaedah log masuk, selaras dengan usaha kerajaan untuk ke arah dunia digital.

Aplikasi MyJPJ ini penting untuk rakyat Malaysia kerana ia memudahkan pengguna untuk akses ke lesen memandu, cukai jalan, dan pelbagai perkhidmatan lain secara digital.

Bagi mengelakkan sebarang masalah log masuk, JPJ menggesa semua pengguna untuk segera mendaftar melalui aplikasi MyJPJ atau MyDigital ID.

Pengumuman mengejut ini sebenarnya kurang mendapat sambutan daripada rakyat Malaysia.

Kebanyakan mereka mengecam bahawa ini seolah sebahagian usaha kerajaan untuk meningkatkan penggunaan aplikasi MyDigital ID.

“Ini cara mereka paksa semua orang untuk gunakan aplikasi ini. Risau nanti akan jadi seperti MySejahtera,” kata seorang netizen.

Ada juga netizen yang mengeluh bahawa masa yang diambil untuk mendaftar aplikasi ini terlalu lama dan sepatutnya MyJPJ memberi masa yang lama bukannya 10 Oktober ini.

“Kalau ye pun, make sure lah app tu smooth. Ni nak register pun sekian hal lagging. Pulak tu bagi masa 10 hari je if not this and that, bagilah sebulan. Not everyone is a tech savvy. Come on lah,” kata seorang netizen.

'Rupa Aplikasi MyDigital ID Seperti Laman Web Tahun 90-an' - Netizen
Sumber: X/Twitter

Sebahagian netizen pula mendakwa bahawa antara muka (interface) aplikasi MyDigital ID kelihatan lama atau seolah dibuat pada zaman 90-an.

“Putus asa cuba untuk daftar @mydigital_ID pagi tadi dan halamannya seperti tahun 1997 ini, tak terkejut,” kata seorang netizen.

Seorang netizen lagi turut mengalami masalah yang sama, “Sila baiki halaman pertama ini dahulu, nampak tua,” katanya.

Melalui pemerhatian The Vocket, halaman pertama yang didakwa kelihatan seperti 1997 itu sudah pun pulih seperti sedia kala.

Tetapi cubaan kami untuk mendaftar memerlukan tahap kesabaran yang tinggi selepas beberapa kali gagal dan diminta untuk memulakan semula proses pendaftaran.

Untuk rekod, MyDigital ID adalah satu sistem pengenalan digital yang diwujudkan untuk menyelaraskan pelbagai perkhidmatan kerajaan secara dalam talian.

Dengan satu akaun MyDigital ID, pengguna dapat mengakses pelbagai aplikasi kerajaan, termasuk MyJPJ, dengan lebih mudah dan selamat.

Ini adalah langkah penting dalam usaha Malaysia untuk menuju ke arah pendigitalan sepenuhnya.

Pendaftaran MyDigital ID boleh dilakukan dengan dua cara – sama ada melalui aplikasi mudah alih MyDigital ID atau dengan mengunjungi kiosk fizikal yang terdapat di seluruh negara.

Dengan cara ini, JPJ berharap dapat memastikan semua rakyat Malaysia dapat menggunakan aplikasi MyJPJ tanpa masalah.