Peminat automotif tempatan baru-baru ini dikejutkan dengan kehadiran sebuah jentera konsep elektrik (EV) segmen-B, Perodua C2 (Chapter 2), yang dipamerkan secara rasmi di acara Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2026.

Model konsep terbaharu ini melambangkan fasa kedua dalam perjalanan EV Perodua, menampilkan bahasa rekaan baharu yang jauh berbeza daripada konsep EM-O sebelum ini.

Apa yang menarik, rekaan futuristik ini dihasilkan sepenuhnya oleh pereka muda tempatan yang mendapat inspirasi daripada generasi baharu Malaysia, iaitu Generasi Alpha dan Beta.

Bezza Generasi Baharu? Pereka Digital Kongsi Rupa Paras ‘Perodua C2’ Versi Praktikal
Sumber Gambar: Perodua

Bagi merealisasikan impian peminat jentera tempatan, pakar pereka digital terkenal tanah air, Theo Chin atau lebih dikenali sebagai Theottle, telah mengambil inisiatif untuk menukarkan model konsep C2 kepada versi produksi yang lebih praktikal.

Diberi nama Perodua Situ, lakaran digital (render) terbaharu ini mengekalkan intipati hala tuju EV Perodua, namun disesuaikan untuk kegunaan dunia nyata di atas jalan raya Malaysia.

Daripada Konsep C2 Kepada Versi ‘Ready-To-Production’
Bezza Generasi Baharu? Pereka Digital Kongsi Rupa Paras ‘Perodua C2’ Versi Praktikal
Sumber Gambar: Instagram @theottle

Melalui video proses rekaan yang dikongsikan di saluran YouTube miliknya, Theottle menggunakan siluet asas sebuah sedan moden dan menyuntik elemen-elemen reka bentuk minimalis jentera elektrik masa kini.

Antara perubahan ketara yang dilakukan termasuklah:

Lampu Hadapan Lebih Tajam: Unit lampu LED yang lebih realistik, memberikan rupa paras hadapan yang sangat dinamik dan sporty.

Rekaan Belakang Yang Sleek: Bahagian belakang menampilkan bar lampu LED melintang penuh (light bar) yang kini menjadi trend global, lengkap dengan tulisan ‘PERODUA’ yang kemas pada but belakang serta sebuah spoiler kecil berwarna hitam.

Sentuhan Praktikal: Bahagian pintu dan pemegang pintu konvesional serta rim aloi dwi-warna yang nampak premium.

Bezza Generasi Baharu? Pereka Digital Kongsi Rupa Paras ‘Perodua C2’ Versi Praktikal
Sumber Gambar: Instagram @theottle
Bukan Sekadar Rupa, Sarat Dengan Integrasi Teknologi Pintar

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad, model C2 ini merupakan asas penting kepada pembinaan model EV masa depan mereka.

Beliau menjelaskan bahawa jentera ini membawa naratif “Made by Malaysians for the world” dalam usaha meningkatkan pengalaman mobiliti pelanggan.

Perodua C2 bakal dilengkapi dengan pelbagai teknologi canggih:

Ciri Pemanduan Berbantukan AI: Merangkumi sistem navigasi masa nyata, pengesan lokasi stesen pengecasan, kemas kini trafik, sistem anti-kecurian yang dipertingkatkan, serta fungsi parkir berbantu.

Integrasi Super App ‘P-Circle’: Prototaip ini menyepadukan aplikasi ekosistem Perodua secara menyeluruh. Pengguna boleh mengakses pelbagai kemudahan dalam satu tempat—daripada aplikasi e-dompet yang selamat sehinggalah kepada penghantaran alat ganti tulen secara keutamaan.

Bagi anda yang ingin melihat bagaimana proses ‘magis’ Theottle menukar rekaan Perodua C2 versi praktikal, jangan lupa saksikan video penuh di saluran YouTube beliau di bawah:

Sumber