Bagaimana agaknya emosi anda selepas dimaklumkan bahawa anak anda telah meninggalkan dunia, tetapi kemudiannya mendapati bahawa dia sebenarnya masih hidup?

Menurut laporan, kejadian ini telah berlaku kepada keluarga Chantern berusia 45 tahun selepas menerima panggilan telefon dari Penjara Sungai Buloh pada 3 Mac lalu yang memaklumkan anaknya berusia 19 tahun telah meninggal dunia.

Keluarganya kemudian diminta untuk hadir ke Hospital Sungai Buloh untuk menuntut mayatnya tetapi tidak dibenarkan untuk melihat mayat anaknya.

“Kami pergi ke hospital pada 3 Mac, tetapi tidak dibenarkan melihat mayat dan diberitahu bedah siasat telah dijalankan. Kami balik keesokan harinya.

“Bagaimanapun, kami diminta menandatangani surat terlebih dahulu sebelum dibenarkan melihat mayat. Selepas melihatnya, kami tidak mengenali wajahnya kerana kesan bedah siasat dan kepalanya sudah botak,” katanya.

Sejurus melihat mayat, keluarga mendapati wajah itu kelihatan berbeza kerana kesan bedah siasat, dan rambutnya telah dicukur.

Bagaimanapun, mereka tetap membawa pulang jenazah tersebut dan mengeluarkan wang untuk menguruskan pengebumian jenazah yang dipercayai anak mereka.

Tetapi, hanya beberapa jam sebelum pengebumian, pihak penjara menghubungi keluarga itu semula, mengatakan anak mereka masih hidup dan membuat panggilan video.

Difahamkan, keluarga yang berasal dari Taman Desa Permai itu hampir membakar mayat tersebut sebelum dihubungi pihak penjara pada jam 10 pagi semalam yang memaklumkan anak mereka masih hidup dan berada dalam tahanan.

Keluarga itu terkejut, keliru dengan apa yang berlaku, dan masih tidak pasti mengapa anak mereka ditahan di penjara pada 28 Februari lalu, menurut Harian Metro.

Insiden itu menyebabkan keluarga tertekan kerana mereka telah membelanjakan kira-kira RM20,000 untuk persiapan pengebumian, termasuk menempah khemah, makanan dan kos pembakaran mayat.

“Anak itu ditahan polis, kemudian disahkan mati, dan kemudian hidup semula. Kejadian ini telah mengelirukan kami. Kami juga membelanjakan kira-kira RM20,000 untuk menempah khemah, makanan, dan kos pembakaran mayat. Mengapa sesuatu yang penting seperti ini boleh berlaku?” katanya.

Ibu tahanan itu, Parameiswary, 48, berkata dia telah membuat laporan polis di Jinjang mengenai kejadian itu dan mahu pihak berkuasa berjumpa dengan keluarga untuk menjelaskan perkara itu dengan jelas.