Nilai Rupiah Indonesia merosot berbanding Dolar AS pada hari Selasa, hal ini dipengaruhi oleh kelemahan pasaran saham dan keadaan ekonomi global yang tidak menentu.

Memetik Sinar Harian, Rupiah Indonesia merosot ke tahap paling lemah dalam tempoh hampir 30 tahun, iaitu paras terendah sejak Krisis Kewangan Asia, berikutan kebimbangan terhadap kesihatan kewangan ekonomi terbesar di Asia Tenggara itu.

Rupiah
Sumber Gambar: Wise

Rupiah mengalami penurunan nilai sehingga 0.5 peratus, mencapai 16,640 berbanding dolar AS, yang merupakan kadar terendah sejak kejatuhan mendadak pada Jun 1998.

Dolar AS diniagakan pada kadar kira-kira 16,610 rupiah pada pagi Selasa, menggambarkan cabaran berterusan yang dihadapi oleh rupiah akibat keadaan ekonomi domestik dan antarabangsa.

Rupiah
Sumber Gambar: bukamatanews

Menurut penganalisis pasaran kewangan Indonesia, Ariston Tjendra, kelemahan keyakinan pelabur di bursa saham domestik turut memberi tekanan kepada rupiah semasa pembukaan dagangan.

“Pesimisme pemain pasaran terhadap pertumbuhan ekonomi domestik jelas dalam pergerakan Indeks Bursa Saham Indonesia (IDX),” katanya seperti dilaporkan agensi berita Antara.

Sejak permulaan tahun, Indeks Harga Saham Gabungan (IHSG) telah mengalami penurunan sebanyak 931.21 mata, atau 13.13 peratus, dari 7,164 pada 2 Januari kepada 6,161.22 pada 24 Mac.

Pada pagi Selasa, Indeks Dolar AS juga mencatatkan peningkatan kepada sekitar 104.30, berbanding 104.10 pada hari Isnin.

Tjendra turut menambah, bahawa para pelaku pasar masih menjangkakan impak negatif daripada kenaikan tarif Amerika Syarikat (AS) yang dijangka akan dilaksanakan pada 2 April, selain daripada konflik baharu di Timur Tengah yang turut menambahkan kerisauan di pasaran global.