Rusia mengenakan denda astronomik terhadap gergasi teknologi Google, menuntut angka yang hampir mustahil.
Mengikut laporan media, Google kini berhutang dengan Kremlin sebanyak 2 undecillion ruble — bersamaan 20 decillion dolar AS, iaitu 20 diikuti dengan 36 sifar.

Menurut laporan CNN, tuntutan ini hadir selepas Google enggan membayar denda-denda terdahulu yang dikenakan akibat sekatan terhadap beberapa saluran pro-Rusia di platform YouTube sejak 2022.
Mahkamah Rusia sebelum ini memerintahkan Google agar membuka semula saluran-saluran yang disekat, namun setelah Google berkeras, denda mula dikenakan dan kini berganda setiap minggu.
Dalam kenyataan terbaru yang disiarkan oleh media TASS, Kremlin menyatakan bahawa penalti ini diharap membawa ‘simbolisme besar’ kerana Google didakwa menghalang suara pro-Rusia di platformnya.
Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov, juga mengakui, “Saya pun tak boleh nak sebut angka ni dengan betul,” tetapi menyifatkan jumlah denda itu sebagai tanda teguran buat Google.
Jika dibandingkan dengan kekayaan global, tuntutan ini jelas sangat melampaui batas.
Sebagai perbandingan, KDNK dunia dianggarkan hanya $110 trilion — masih jauh berbanding denda ini.
Google, melalui syarikat induknya Alphabet, bernilai sekitar $2 trilion.
Ini bermakna, denda yang dituntut Rusia adalah berbilion kali lebih besar daripada nilai keseluruhan Google itu sendiri.
Menerusi laporan kewangan suku tahunan yang baru-baru ini diterbitkan, Google hanya menyebut bahawa syarikatnya sedang berdepan beberapa “masalah undang-undang berterusan” di Rusia.
“Kami tidak percaya isu undang-undang ini akan memberi kesan besar terhadap pendapatan kami,” menurut laporan Google.
Selepas pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, Google telah mengurangkan operasi di negara tersebut tetapi tidak menghentikan operasinya sepenuhnya, berbeza dengan syarikat-syarikat teknologi AS lain yang menarik diri.
Enjin carian dan YouTube milik Google masih boleh diakses di Rusia, walaupun Google telah memfailkan kebankrapan untuk anak syarikatnya di Rusia pada 2022 setelah kerajaan merampas akaun banknya.
Ramai pemerhati berpendapat bahawa denda yang dikenakan ini lebih kepada ‘simbolisme politik’ daripada tuntutan yang benar-benar praktikal.
Langkah Rusia ini menunjukkan ketegangan yang semakin meningkat antara Kremlin dan syarikat teknologi Barat yang dikatakan menyekat atau menapis suara pro-Rusia.