Gelombang ketidakstabilan politik di Indonesia, yang dicetuskan oleh rusuhan dan protes berterusan, telah mencetuskan kebimbangan mendalam di kalangan rakyat Malaysia.
Lebih-lebih lagi menjelang musim cuti, ramai yang mula bertanya adakah Indonesia, destinasi percutian popular, masih selamat untuk dilawati?
Hal ini kerana ada sebahagian warga Malaysia yang sudah membeli tiket, menempah hotel terutamanya di Bandung, Jakarta, Bali atau Yogyakarta sejak beberapa bulan terdahulu cuba mendapat kepastian kerana merasa sayang untuk membiarkan ia terbuang begitu sahaja.

“Flight dah beli awal tahun lagi… risau kalau tiba-tiba tak selamat nak pergi,” komen seorang pengguna Threads.
“weh bulan 10 nak pegi medan, Indonesia tengah bergolak. Selamat ke nak pegi, risau tak balik Malaysia,” kongsi seorang pengguna lain.
Menjengah perkongsian pengguna Threads, ramai yang berkata ada sebahagian kawasan seperti Jakarta masih aman dan boleh dilawati.
Bagaimanapun, sebahagian pengguna menasihati untuk memaklumkan penempatan anda sewaktu di sana kepada pihak kedutaaan negara agar jika berlaku sesuatu bolehlah dikenal pasti untuk bantuan segera dan seumpamanya.
Ada yang membangkitkan berkaitan servis ehailing dan infrastruktur pengangkutan awam yang mungkin sukar untuk didapati di dalam keadaan sedemikian.
Walaupun Kerajaan Malaysia belum mengeluarkan larangan perjalanan rasmi ke Indonesia, para pelancong dinasihatkan untuk sentiasa peka dengan perkembangan terkini.
Sementara itu, ada yang meminta sesiapa yang sudah tempah penginapan dan seumpamanya di kawasan panas untuk membatalkan hasrat terlebih dahulu walaupun tidak boleh dapat refund sekalipun. Keselamatan diri perlu jadi keutamaan.
Mereka juga digesa untuk mendapatkan maklumat melalui saluran rasmi kedutaan dan mengelakkan kawasan yang dikenal pasti sebagai lokasi protes demi keselamatan diri.
Pihak berkuasa Indonesia dilaporkan sedang memperketat kawalan keselamatan di kawasan tumpuan orang ramai. Ini termasuk di lapangan terbang, pusat bandar, dan kawasan pelancongan utama.