Saari Amri berkongsi kisah di sebalik lagu popular Putus Terpaksa ciptaannya yang dialunkan penyanyi balada legenda, Ziana Zain.

Lagu “Putus Terpaksa” adalah karya malar segar dalam industri muzik Malaysia. Ianya lagu balada klasik yang masih dimainkan di radio.

Malah seringkali menjadi pilihan penyanyi generasi baharu untuk bawa lagu ini semula sama ada dalam pertandingan atau untuk versi ‘cover’.

Saari Amrim menyatakan bahawa kisah di sebalik lagu ini adalah tentang seorang wanita bercinta dengan penagih dadah atau kaki ketum.

Ilham lagu Putus Terpaksa

Perkara itu diceritakan Saari Amri dalam satu podcast: “Apabila buat lagu, tidak semestinya lagu cinta semata mata.

“Walaupun menghasilkan lagu cinta, kita tetap selitkan mesej. Macam lagu ‘Putus Terpaksa’ itu, kisah wanita bercinta dengan penagih dadah.

“Teman lelaki dia kaki ketum. Itu yang cuba disampaikan wanita tersebut. Jangan amalkan [minum ketum], namun lelaki itu nak juga. Sebab itulah terpaksa putus cinta.”

Ternyata hos podcast kelihatan geli hati baru tahu  tentang makna di sebalik lagu tersebut.

“Patutlah ada bait liriK ‘sudah puas ku menghimpun doa agar kau berubah’,” kata mereka.

Pernah cerita sebelum ini

Ini bukan pertama kalin Saari Amri menjelaskan makna atau ilham di sebalik lagu Putus Terpaksa tersebut adalah berkenaan wanita bercinta dengan penagih dadah.

Malah beberapa tahun lalu, beliau turut menegaskan perkara yang sama, ketika lagu Putus Terpaksa kembali sohor di media sosial.

Saari Amri menceritakan kisah itu menerusi siaran di YouTube rasmi beliau kerana ramai yang mahukan penjelasan tentang kisah di sebalik lagu ‘berhantu’ tersebut.

Mungkin selepas ini ‘vibe’ membawa lagu ini di karaoke tidak akan sama lagi setelah mengetahui makna di sebalik lagu ini.

Namun ada juga peminat menegaskan bahawa setiap lagu itu kadangkala boleh disesuaikan dengan situasi lain selain teman lelaki kaki ketum.