Bekas kapten Harimau Malaya, Safiq Rahim tampil memberikan pandangannya mengenai kegagalan Selangor FC mara ke final Piala FA selepas tewas kepada Kuching City FC.
Menerusi satu hantaran di Instagram, Safiq berpendapat keputusan tersebut sepatutnya menjadi ruang untuk ketua jurulatih Selangor, Kim Pan-Gon, menilai semula pendekatan taktikal serta prestasi pasukannya.
“Kegagalan Selangor FC ke final Piala FA selepas tewas kepada Kuching City FC sepatutnya menjadi perkara yang perlu Kim Pan-Gon fikirkan dan nilai semula.
“Sebagai ketua jurulatih, sudah tentu beliau perlu bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku kepada pasukannya,” tulis Safiq.
Beliau turut mempersoalkan pendekatan permainan Selangor yang dilihat lebih banyak bertahan, selain keputusan taktikal yang digunakan dalam perlawanan tersebut.
“Kalau lihat cara Selangor bermain, mereka lebih banyak bertahan dan pendekatan taktikal yang digunakan juga boleh dipersoalkan.
“Lebih menarik, gol sendiri yang menjadi antara punca kekalahan itu pula dijaringkan oleh pemain yang dimasukkan sebagai pemain gantian.”
Safiq turut membangkitkan isu kecenderungan pihak Selangor mengaitkan kegagalan mereka dengan isu pengadil, FAM dan MFL setiap kali berdepan masalah.
“Satu lagi perkara yang agak ketara, setiap kali ada masalah atau kegagalan, isu pengadil, FAM dan MFL sering dibangkitkan.
“Perkara yang sama seolah-olah berulang setiap musim. Sampai bila mahu terus mencari kesalahan orang lain? Takkan langsung tiada kelemahan dalam pasukan sendiri yang perlu diakui?”
Beliau menegaskan bahawa setiap pasukan perlu berani menerima hakikat sekiranya taktikal tidak menjadi, pemain gagal menunjukkan prestasi terbaik atau keputusan yang dibuat kurang tepat.
“Dalam bola sepak, kita kena berani mengaku kalau pasukan sendiri memang bermain kurang baik. Kalau taktikal tidak menjadi, pemain tidak menunjukkan prestasi yang sepatutnya atau keputusan yang dibuat kurang tepat, terima hakikat dan perbaiki.”
Safiq turut menyentuh insiden membabitkan Nazmi Faiz yang mencetuskan kekecohan sehingga dua kad merah dilayangkan selepas pemain itu pergi ke bangku simpanan pasukan lawan.
“Insiden Nazmi Faiz juga menimbulkan persoalan. Apa sebenarnya yang berlaku sehingga beliau pergi ke bangku simpanan pasukan lawan dan akhirnya mencetuskan kekecohan sehingga dua kad merah dilayangkan?
Kuching City raikan gol, tapi kenapa pemain kedua-dua pasukan berkerumun di tepi padang?
Suasana jadi tegang dalam aksi separuh akhir Piala FA apabila pemain Kuching City, Nazmi Faiz menghampiri bangku simpanan Selangor FC. Selepas perlawanan, ketua jurulatih Selangor Kim… pic.twitter.com/CclnxfZ2Qo
— Hot FM 🇲🇾 (@hotfm976) November 9, 2026
“Begitu juga dengan isyarat tangan yang dikaitkan dengan sindiran mengenai wang kepada pihak tertentu.”