Syarikat bioteknologi dari Dallas, Colossal Biosciences, telah berjaya menghidupkan semula spesies serigala yang telah pupus 12,500 tahun lalu, dikenali sebagai dire wolf.
Tiga anak serigala tersebut dihidupkan kembali menggunakan DNA purba, teknologi klon dan penyuntingan gen.
Serigala dire menerima julukan nama ‘Serigala Mengerikan’ ini mirip serigala kelabu tetapi lebih besar, mempunyai kepala lebar, bulu tebal, dan rahang yang kuat. Ia pernah menjadi pemangsa utama di Amerika Utara dan menjadi inspirasi kepada watak serigala dalam siri TV “Game of Thrones”.
Colossal mengambil DNA daripada fosil serigala dire, mengenal pasti ciri-ciri genetik unik, dan menyunting gen serigala kelabu untuk menyerupai spesies pupus itu. Anak-anak serigala ini kemudian dilahirkan melalui ibu tumpang.
Dua anak jantan lahir pada 1 Oktober 2024 dan seekor betina lahir pada 30 Januari 2025. Ketiga-tiganya kini tinggal di kawasan khas seluas 2,000 ekar yang dikawal ketat.
Colossal telah bekerja untuk menghidupkan semula spesies mamot, burung dodo dan harimau Tasmania sejak tahun 2021, namun mereka tidak pernah mengumumkan usaha ke atas serigala dire sebelum ini.
“Pencapaian besar ini merupakan yang pertama daripada banyak contoh akan datang yang menunjukkan teknologi de-pupus menyeluruh kami berfungsi,” kata Ben Lamm, pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Colossal, dalam satu kenyataan media.
“Pasukan kami mengambil DNA daripada sebatang gigi berusia 13,000 tahun dan tengkorak berusia 72,000 tahun dan menghasilkan anak-anak serigala dire yang sihat.”
Bukan 100% serigala dire tulen
Apa yang pihak Colossal lakukan bukanlah ‘menghidupkan semula’ serigala dire sebenar yang telah pupus, tetapi lebih kepada menghasilkan semula baka yang menyerupai serigala dire dengan menggunakan penyuntingan genetik.
Saintis menggunakan DNA serigala kelabu moden dan menganalisis fosil serigala dire untuk mengenal pasti gen-gen utama yang membezakan kedua-dua spesies ini. Gen serigala kelabu itu kemudiannya disunting supaya menyerupai ciri-ciri fizikal dan tingkah laku serigala dire antaranya dari segi saiz badan yang lebih besar, struktur tengkorak yang lebih kuat dan lain-lain.
3 ekor serigala yang dilahirkan ini bukan serigala dire tulen, tetapi serigala hasil kejuruteraan genetik yang membawa sifat-sifat serigala dire.
Walaupun kejayaan ini mencetuskan kegembiraan, ada yang bimbang tentang kesan terhadap haiwan lain dan tujuan sebenar menghidupkan haiwan pupus. Namun, Colossal juga sedang menggunakan teknologi ini untuk membantu spesies yang terancam, seperti serigala merah.
Impian utama Colossal adalah untuk ‘menghidupkan kembali’ gajah Mammoth
Colossal telah mengumpulkan sekurang-kurangnya USD435 juta sejak Lamm, seorang usahawan bersiri, dan ahli genetik Harvard George Church, menubuhkan syarikat itu pada September 2021. Pada tahun 2021, mereka mengumumkan rancangan untuk menghidupkan semula mamot.
Usaha itu mengambil masa lebih lama daripada jangkaan awal, dan syarikat kini menyasarkan untuk memperkenalkan anak mamot berbulu pertama pada tahun 2028.