Para saintis mengumumkan bahawa mereka telah berjaya membangunkan serum baharu yang menunjukkan kemampuan luar biasa untuk memulihkan pertumbuhan rambut dalam tempoh masa yang sangat singkat, iaitu hanya 20 hari. Penemuan ini berpotensi menjadi revolusi dalam rawatan masalah keguguran dan kebotakan.

Dipetik dari Times Of India, Serum ini dibuat daripada asid lemak semula jadi dan berfungsi dengan merangsang sel-sel lemak di bawah kulit untuk menumbuhkan folikel rambut yang baharu.

Penemuan ini didasarkan pada proses yang dikenali sebagai Hypertrichosis, di mana kulit mempunyai keupayaan semula jadi untuk menjana pertumbuhan rambut yang berlebihan.

Ujian awal ke atas tikus, serta aplikasi peribadi oleh salah seorang profesor, telah menunjukkan hasil yang positif. Pasukan penyelidik telah mematenkan serum ini dan kini merancang untuk menjalankan ujian dos pada kulit kepala manusia sebelum ia dilancarkan ke pasaran sebagai produk tanpa preskripsi (over-the-counter) yang mudah didapati. Penemuan ini menawarkan harapan besar kepada mereka yang mengalami masalah keguguran atau penipisan rambut.

Jika anda tertanya-tanya tentang realiti dakwaan mengejutkan mengenai keberkesanan serum ini, mungkin akan meyakinkan anda untuk mengetahui bahawa penulis kajian telah menguji dan mencubanya sendiri.

Profesor Sung-Jan Lin, penulis kajian di Universiti Kebangsaan Taiwan (National Taiwan University), memberitahu bahawa beliau secara peribadi telah menggunakan versi awal produk ini pada kakinya:

“Saya sendiri menyapu asid lemak ini, yang dilarutkan dalam alkohol, pada paha saya selama tiga minggu dan saya mendapati ia menggalakkan pertumbuhan semula rambut,” katanya.

Serum ini pada asasnya adalah krim sapuan yang bertindak dengan merangsang sel-sel lemak di bawah kulit untuk menjana semula folikel rambut.

Perkara yang menarik mengenai serum ini ialah ia berdasarkan kepada proses yang dikenali sebagai Hipertrikosis (Hypertrichosis).

Para penyelidik, diketuai oleh Profesor Lin, mengetahui bahawa kerengsaan atau kecederaan pada permukaan kulit boleh menggalakkan pertumbuhan rambut yang berlebihan. Mereka menggunakan proses semula jadi ini dalam pembentukan idea serum tersebut.

Dalam kajian awal, mereka mendapati bahawa kecederaan kulit tidak hanya mendorong keradangan tisu, tetapi juga merangsang pertumbuhan semula rambut. Sel-sel lemak kemudian akan melepaskan asid lemak yang diserap oleh sel stem folikel rambut, lalu mencetuskan pertumbuhan rambut.

Serum yang berasaskan asid lemak semula jadi ini adalah cara untuk mencetuskan tindak balas regeneratif ini tanpa perlu mencederakan atau merengsakan kulit secara kimia yang kuat.

Pasukan penyelidik di National Taiwan University dilaporkan telah berjaya mempatenkan serum penumbuh rambut mereka—satu langkah penting menuju pelancaran komersial.

Dengan paten yang telah diperoleh, sasaran utama pasukan kini adalah menjalankan ujian klinikal ke atas kulit kepala manusia. Tujuannya adalah untuk menentukan dos paling berkesan dan menilai keselamatan jangka panjang serum tersebut.

Profesor Sung-Jan Lin dan rakan sekerjanya sangat optimis bahawa serum itu, jika terbukti selamat dan berkesan, boleh ditawarkan sebagai rawatan tanpa preskripsi (over-the-counter) yang ringkas dan mampu milik untuk masalah keguguran rambut.

Walaupun penemuan ini telah mencetuskan kegembiraan yang besar, pakar-pakar menekankan bahawa lebih banyak ujian ke atas manusia diperlukan sebelum ia boleh dipasarkan. Buat masa ini, serum ini kekal sebagai satu petunjuk yang menarik mengenai potensi masa depan dalam bidang dermatologi regeneratif.