Petai merupakan salah satu ulam-ulaman yang digemari warga tempatan lebih-lebih lagi apabila dimakan dengan sambal dan nasi. Selain sedap untuk dimakan, terdapat pelbagai khasiat yang boleh dimanfaatkan oleh para peminatnya.
Antara kebaikan kesihatan buat manusia dengan memakan petai adalah boleh membantu tangani stress, mengawal gula, baik untuk jantung, gigi dan tulang serta banyak lagi.
Namun, masih sebahagian daripada kita yang menolak untuk memakannya kerana bau yang dihasilkan sangat busuk selepas itu.
Baru-baru ini, seorang pengguna TikTok dari luar negara telah mencipta kontroversi selepas berkongsi resepi sandwich gaya Australia yang menggabungkan avokado bersama petai.
Perkongsian resepi itu lantas meraih perhatian netizen tempatan yang mana petai cukup terkenal di Malaysia dan ia sesuatu perkara baharu untuk dipadankan dengan roti.
Berbalik kepada resepi sandwich itu, @simplegreensoul turut berkongsi amalan yang wajib dilakukan oleh mereka yang ingin menikmati ulam tersebut.
Ulasnya dengan lanjut, isi petai perlu dibelah terlebih dahulu untuk memastikan tiada ulat hidup di dalamnya. Selepas itu, isi petai hendaklah direbus supaya menjadi lembut dan lebih mudah untuk dipotong dalam bentuk yang kecil.
Wanita itu lalu meletakkan isi petai yang sudah direbus bersama avocado di dalam satu bekas untuk dilenyek sehingga halus.
Sebagai pelengkapnya, dia turut menambah jus limau nipis dan serbuk cili untuk digaul bersama.
Menurut @simplegreensoul, sandwich berkenaan sangat sedap untuk dinikmati dan mengakui tidak ambil peduli dengan pandangan orang lain berkenaan resepi unik itu.
@simplegreensoul Smashed avocado and petai sandwich. Would you try it? #petai #indonesianfood #malaysianfood
Menelusuri ke ruangan komentar, walaupun resepi ini dilihat berkhasiat untuk kesihatan, rata-rata netizen tempatan sangat terkejut dengan resepi sandwich itu dan tidak dapat membayangkan rasa makanan itu apabila sudah dicampurkan dengan petai.
Walaupun ramai berseloroh mahu mencipta menu-menu yang pelik berasaskan Barat, tetap berterima kasih kepada wanita itu kerana mendedahkan tentang kewujudan ulat di dalam biji petai yang selama ini dimakan terus oleh kita.