Isu parkir kenderaan di hadapan rumah sendiri atau jiran sehingga menghalang laluan sering kali diluah netizen di media sosial. Orang ramai mahu pihak berkuasa mengenakan tindakan yang sewajarnya terhadap pelaku kesalahan tersebut.

Sehubungan dengan itu, Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) mengeluarkan kenyataan berhubung satu memo yang tular pada hari semalam — pemilik kenderaan boleh dikompaun sekiranya parkir kenderaan di hadapan sendiri atau jiran sehingga menghalang laluan.

Baca Juga:

Menurut MBPG, pihaknya cuma mengambil tindakan penguatkuasaan hanya berdasarkan aduan diterima. Ini kerana setiap aduan yang Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terima perlu diberikan maklum balas dan diambil tindakan selanjutnya.

“Untuk makluman pihak tuan/puan, rekod bagi aduan kacau ganggu kenderaan (kenderaan menghalang, kenderaan terbiar/buruk, kenderaan yang diletakkan di simpang jalan/laluan utama dan lain-lain) yang diterima oleh pihak MBPG pada tahun lalu ialah 242 aduan.

“Manakala pada tahun ini sehingga September ialah 349 aduan berkaitan kacau ganggu kenderaan.

“Pihak MBPG hanya akan mengambil tindakan sekiranya menerima aduan berkaitan. Antaranya seperti parkir kenderaan di luar pagar yang menyebabkan halangan dan kacau ganggu di kawasan/tempat awam,” petik kenyataan rasmi yang di keluarkan semalam.

Terdapat 4 jenis kesalahan parkir yang boleh dikenakan hukuman dengan nilai kompaun serendah kurang RM100 hingga tidak melebihi RM5,000, hukuman penjara tidak kurang 1 tahun/tidak melebihi 1 tahun, atau kedua-duanya.