Influencer dan pengusaha produk makanan, Khairul Aming mengumumkan dua produknya sudah mendapat sijil halal.
Menerusi video dimuat naik Khairul Aming, sijil itu diberikan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK).
Baca Juga:
Khairul Aming berkata beliau dan pasukannya membangunkan kilang kosong di Kota Bharu sedikit demi sedikit sehinggalah mendapat pengiktirafan.
“Sebelum ini kita bermula satu kilang dekat Kota Bharu daripada zero, jadi kita bangunkan sedikit demi sedikit. Alhamdulilah sekarang kita ada dua buah kilang dengan seratus lebih orang pekerja.
“Kemudian Insha-Allah kita akan cuba mohon sijil Hazard Analysis Critical Control Point (HACCP) pula untuk kilang kita di Kelantan,” luah Khairul Aming dengan penuh kegembiraan.
Tambahnya lagi, dengan adanya sijil halal sekarang, beliau boleh kembangkan lagi produk-produknya ke pasaran yang lebih besar.
Pada masa sama kembangkan lagi pasaran e-dagang dan pengilangan makanan di tempat kilangnya beroperasi sekarang.
Khairul Aming turut menyatakan kini beliau fokus dalam pembangunan produk ketiga yang akan dilancarkan pada tahun hadapan.
Beliau turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada orang ramai yang memberikan sokongan kepada perniagaan yang dijalankan selama ini.
Difahamkan 2025 merupakan tahun yang ke-5 perniagaan beliau beroperasi.
Selain sijil Halal, syarikat yang dikendalikan oleh Khairul Aming telah mendapatkan sijil MeSTI daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Februari lalu.