Kementerian Komunikasi merancang untuk mencadangkan ‘Hari Muzik Kebangsaan’ sebagai sambutan tahunan di seluruh negara.
Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil, berkata cadangan tersebut akan dibincangkan secara dalaman di peringkat kementerian dalam masa terdekat, selepas kajian mengenai industri muzik yang dijalankan bersama MyCreative Ventures selesai, petik The Sun.
Baca Juga:
- Lima Pemuzik Nusantara Bakal Gegar Kuala Lumpur 5 Disember Ini

- Misi XTRA XSTAR Mencari Penyanyi Pelapis Dunia Muzik Tanah Air

- “Here Comes The Sun Eater”: Pameran Muzik Alternatif Satukan Dua Negara

“Cadangan ini akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri, dan sekiranya mendapat persetujuan Perdana Menteri, pelaksanaannya akan diteliti,” katanya kepada media selepas merasmikan majlis penutup RIUH x ASEAN 2025.
Beliau berkata, terdapat keperluan untuk meraikan bakat dan sumbangan pemuzik tempatan melalui satu sambutan khas seperti Hari Muzik Kebangsaan.
Kajian yang dijalankan telah mengenal pasti beberapa isu utama dalam industri muzik, khususnya keperluan untuk mewujudkan akta khusus bagi melindungi serta mengawal selia sektor tersebut.
“Kami mendapati banyak sektor kreatif, terutamanya muzik, masih belum mempunyai undang-undang yang dikhususkan,” jelas Fahmi.
“Sejak tahun lepas, saya telah meminta MyCreative Ventures dan Kementerian Komunikasi untuk meneliti kebolehlaksanaan memperkenalkan satu akta khusus bagi industri muzik.”
Beliau menambah bahawa kajian yang telah disiapkan itu turut menggariskan hala tuju bagi pelaksanaan undang-undang berkenaan.