Skandal penutupan kes orang hilang secara tidak sah kini menggoncang sistem kepolisan Korea Selatan. Keadaan menjadi semakin kritikal apabila empat mayat ditemui dalam tempoh tiga hari sahaja di Pulau Jeju.

Tragedi ini meletus selepas tindakan seorang pegawai polis yang disyaki memalsukan rekod bagi 200 kes orang hilang sepanjang 17 bulan berkhidmat di pulau berkenaan.

Penemuan Mayat Selepas Kes Ditutup

Sampai Presiden Kena Campur Tangan, Polis Jeju Didakwa Palsukan Rekod 200 Orang Hilang
Sumber Gambar: X

Jang Mi-ran, 37 tahun, dilaporkan hilang pada 15 Mei lalu. Pegawai polis yang mengendalikan kes itu, seorang lelaki berusia 30-an dikenali sebagai Bu, mendakwa kepada keluarga mangsa bahawa dia telah menghubungi Jang dan wanita itu tidak mahu diganggu.

Bu kemudian memadamkan nama Jang daripada sistem profil orang hilang. Siasatan kemudiannya membuktikan tiada sebarang percubaan menghubungi mangsa pernah dibuat.

Mayat Jang akhirnya ditemui di sebuah ladang pokok palma di Hallim-eup, 104 hari selepas hilang dan hanya 400 meter dari tempat penginapannya.

Modus operandi serupa digunakan ke atas seorang lelaki berusia 60-an yang dilaporkan hilang pada 2 Julai, di mana mayatnya ditemui pada hari Sabtu di Songdang-ri.

Dua lagi mayat ditemui berasingan di Aewol-eup dan kawasan perairan Sinheung-ri, menjadikan empat penemuan mayat dalam masa tiga hari.

Arahan Siasatan Dan Reformasi Presiden

Pendedahan ini mencetuskan kemarahan awam sehingga mendapat perhatian pucuk pimpinan negara. Presiden Lee Jae Myung mengarahkan siasatan menyeluruh ke atas pengendalian kes berkenaan serta semakan ke atas sistem penyeliaan polis secara keseluruhan.

“Presiden mengarahkan pihak berkuasa untuk meneliti semula keseluruhan proses siasatan polis, di samping mengkaji sistem penutupan kes, arahan, dan penyeliaan,” kata Jurucakap Presiden, Kang Yu-jung.

Pemangku Pesuruhjaya Agensi Polis Kebangsaan, Yoo Jae-seong, turut memohon maaf secara terbuka. Ekoran insiden ini, pihak polis menetapkan arahan baharu yang mewajibkan pengesahan pegawai senior sebelum sebarang kes orang hilang boleh ditutup.

Semakan Keseluruhan Di Seoul

Kesan daripada skandal ini, Polis Metropolitan Seoul kini memulakan semakan ke atas kira-kira 92,800 kes orang hilang yang telah ditutup sejak Januari 2024.

Ketua Polis Seoul, Park Jeong-bo, mengesahkan langkah ini diambil bagi memastikan tiada pegawai yang menutup kes tanpa pengesahan fizikal atau panggilan video.

Walaupun polis memohon waran tangkap terhadap Pegawai Bu atas tuduhan pengabaian tugas dan memalsukan rekod rasmi, Mahkamah Daerah Jeju membebaskannya kerana mendapati tiada keperluan mendesak untuk menahannya.

Kelemahan prosedur ini mendedahkan kelonggaran ketara dalam sistem keselamatan, sekali gus mendesak reformasi drastik demi mengembalikan kepercayaan masyarakat.