Mulai dilancarkan pada pertengahan Ogos lalu, kehadiran dua model unik daripada Samsung iaitu Galaxy Z Fold5 5G dan Samsung Galaxy Z Flip5 5G sememangnya dinantikan pengguna. Rekaannya yang unik beserta spesifikasi yang hebat membuatkan model ini menjadi para peminat.

Kami juga antara yang tidak melepaskan peluang untuk mencuba model Samsung Galaxy Z Flip5 5G dalam mengetahui sejauh manakah model ini sesuai digunakan untuk kegunaan harian sekaligus membuatkan orang ramai beralih kepada telefon pintar dengan rekaan unik ini. Berikut merupakan review penuh kami mengenai model penuh gaya daripada Samsung ini.

Baca Juga:

Rekaan

Kami mulakan review kami dengan membincangkan rekaan Samsung Galaxy Z Flip5 5G. Malah, tidak sah rasanya jika tidak membicangkan rekaan model yang unik ini.

Memasuki generasi kelima Samasung Galaxy Z, jelas dapat dilihat model ini dilihat semakin matang dalam menawarkan produk yang lebih memudahkan pengguna.

Tidak hanya unik kerana boleh dibuka daripada bawah ke atas, Samsung Galaxy Flip5 5G pada kali ini tampil dengan saiz skrin yang lebih besar pada bahagian luar berbanding model sebelumnya.

Sebanyak empat warna ditawarkan buat para pengguna terdiri daripada Mint, Graphite, Lavender dan juga warna Cream yang digunakakan oleh pihak kami.

Sebagai individu yang pernah menggunakan model Samsung Galaxy Flip3 5G sebelum ini, suka untuk saya katakan pihak Samsung berjaya menawarkan solusi yang baik menerusi model ini.

Samsung Galaxy Flip5 5G tidak lagi berasa terlalu ketat atau terlalu longgar sewaktu dibuka manakala kesan lipatan pada bahagian tengah tidak lagi terlihat jelas. Walau bagaimanapun, anda masih memerlukan kedua-dua belah tangan untuk membuka telefon pintar ini dengan seimbang.

Mengulas mengenai saiz, model ini sememangnya selesa untuk dipegang. Meskipun dimasukkan ke dalam poket sewaktu dalam keadaan tertutup, model ini tidak terlihat terlalu tebal dan menyerlah berbanding kebanyakkan model telefon pintar bersaiz 6.7-inci di pasaran pada ketika ini.

Skrin

Model ini hadir dengan skrin utama 6.7-inci beserta paparan Dynamic AMOLED 2X. Penawaran skrin dan paparan yang ditawarkan Samsung sememangnya tidak dinafikan sangat cantik dan memukau beserta sokongan refresh rate sehingga 120Hz membuatkan penggunaan model ini sangat smooth dan menarik.

Meskipun mempunyai saiz skrin yang besar, model ini hadir dengan screen ratio 22:9 sekaligus membuatkan skrin ini sekadar memanjang dan tidak terlalu lebar. Hal ini membuatkan model ini berjaya tampil dengan saiz yang boleh dikatakan slim berdasarkan saiz skrin serta spesifikasi yang ditawarkan.

Dalam pada itu, para pengguna mungkin memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan skrin yang lebih panjang berbanding model telefon pintar biasa.

Pada bahagian luaran, model ini turut hadir dengan sebuah lagi skrin kecil 3.4-inci SAMOLED. Skrin ini sememangnya sangat membantu pengguna dalam menyemak notifikasi, masa, keadaan cuaca dan pelbagai lagi mengikut tetapan yang dipilih pengguna. Oh ya, pengguna juga turut berpeluang memilih wallpaper pilihan untuk disertakan pada skrin bahagian luaran ini.

Spesifikasi

Tidak hanya hadir dengan rekaan dan skrin yang memukau, Samsung turut berjaya menyertakan processor terbaru daripada Qualcomm iaitu Snapdragon 8 Gen 2.

Pengguna bakal merasakan pengalaman yang lancar dan pantas sepanjang menggunakan model ini menerusi penawaran 8GB RAM beserta ruang storan yang hadir dengan dua pilihan iaitu 128GB dan 256GB. Bermain game atau membuka aplikasi yang memerlukan kuasa pemprosesan yang tinggi sememangnya bukan masalah buat model ini.

Kamera

Mengulas dari segi kamera, model ini masih lagi menggunakan sistem kamera yang hampir sama seperti model sebelumnya. Dua sensor 12-megapixel dengan lensa lebar dan ultra lebar antara yang ditawarkan pada kamera utama manakala kamera hadapan hadir dengan sensor 10-megapixel.

Berdasarkan percubaan, model ini masih mampu mendapat imej yang baik namun bukanlah terbaik daripada Samsung.

Dalam pada itu, untuk kegunaan secara kasual kualiti yang tersedia pada model ini sudah baik baik daripada kamera utama mahupun hadapan. Berikut merupakan gambar yang diambil menggunakan model ini.

Diambil menggunakan lensa 0.5X
Diambil menggunakan zum optikal 10X
Diambil menggunakan potrait mode

Sebuah percubaan yang baik daripada Samsung dalam memudahkan pengguna swafoto tanpa perlu membuka model boleh lipat mereka untuk mendapatkan gambar. Imej berbentuk segi empat sama antara yang akan terhasil menerusi gambar yang diambil menggunakan kamera luaran pada skrin kecil yang tertera.

Pengalaman penggunaan

Tidak hanya hadir dengan sekadar gimik yang boleh dilipat, percubaan Samsung untuk terus menghasilkan peranti boleh lipat secara konsisten sememangnya wajar dipuji.

Menerusi model Flip5 5G, sekiranya terdapat suatu bahagian sangat kami suka, sudah pastinya skrin hadapan 3.4-inci yang tersedia.

Kami tidak lagi perlu membuka telefon pintar ini setiap kali menyemak notifikasi, kalender atau keadaan cuaca sebaliknya boleh disemak menerusi swipe pada skrin hadapan sahaja. Begitu juga dengan mengambil gambar secara selfie dan penuh gaya.

Adakah berbaloi?

Samsung Galaxy Flip5 5G pula ditawarkan pada harga RM4,499 untuk 8/128GB dan RM4,999 untuk 8/256GB. Berdasarkan model telefon pintar flagship yang ditawarkan Samsung sebelum-sebelum ini, jelas Samsung Galaxy Z Flip5 5G hadir dengan harga yang sedikit rendah.

Syabas sekali lagi buat Samsung kerana berjaya menawarkan sebuah telefon pintar yang hadir dengan rekaan yang unik beserta spesifikasi yang hebat.

Model ini dikhususkan buat pengguna yang mahu mencuba sesuatu yang baharu pada telefon pintar Android. Pengguna pastinya akan merasai pengalaman penggunaan yang berbeza baik dari segi cara penyimpanan, penjagaan dan juga fungsi yang tersedia.

Rekaannya yang memukau pastinya membuatkan model ini menjadi perhatian ramai lebih-lebih lagi sewaktu dibuka dan ditutup. Penyertaan skrin pada bahagian luaran sememangnya sangat membantu manakala saiz yang kecil sangat membantu dalam penyimpanan.

Sekiranya anda sudah bosan dengan rekaan telefon pintar masa kini, mendapatkan Samsung Galaxy Flip5 5G merupakan pilihan yang berbaloi. Kami yakin anda pastinya tidak lagi kekok selepas menggunakan model ini selepas beberapa hari.