Sementara rakyat Malaysia bertungkus-lumus mencari pekerjaan dengan tawaran gaji lumayan di luar negara, seorang wanita Jepun sanggup mengorbankan kariernya demi mencari ketenangan di negara lain.

Wanita Jepun dalam video TikTok tular @racewonderland ini mendedahkan dia lebih rela bekerja di Malaysia berbanding di Jepun, meskipun gajinya jauh lebih rendah.

“Gaji di Malaysia memanglah lebih rendah berbanding di Jepun. Tapi bagi saya, itu tidak mengapa,” kongsinya.

Persoalan mengapa dia memilih Malaysia telah dijawab dengan mudah di mana menurutnya kerjaya di negara matahari terbit itu tidak mampu memberikan masa lapang selepas kerja serta gaya hidup yang lebih tenang.

Walaupun ramai rakyat Malaysia mengimpikan untuk bekerja di Jepun, wanita itu menjelaskan bahawa ia tidaklah seindah yang disangka.

Budaya kerja Jepun yang sangat intensif sering bermakna pulang lewat malam, cuti yang minima, dan rutin yang terlalu ketat. Lama-kelamaan, semua ini memenatkannya.

Ramai rakyat Malaysia beranggapan gaji di Jepun sangat tinggi. Itu benar, namun apa yang mereka tidak tahu adalah gaji bersih yang diterima sebenarnya rendah kerana cukai boleh mencecah sehingga 30 peratus,” katanya.

“Jadi, setiap kali saya menerima gaji di Jepun, saya berasa sedih.”

Gaji yang tinggi pun tidak cukup untuk menjustifikasikan tekanan mental yang dialami.

Perubahan pemikiran itu akhirnya membawa dia ke Malaysia, di mana dia menemui keseimbangan yang lebih baik antara kerja dan kehidupan peribadi.

Jika dibandingkan, dia menyatakan bahawa keseimbangan antara pendapatan dan kos sara hidup di Malaysia terasa lebih terkawal. Dia juga menghargai masa dan tenaga yang dimilikinya untuk menikmati kehidupan di luar pekerjaannya.

@racewonderland

Gaji rendah pun tak kisah, saya lagi nak hidup di Malaysia! 🔥 🔔Video penuh: 西西歪Ccwhyao di YouTube #西西歪 #Ccwhyao #種族奇事 #racewonderland #malaysia #malaysian #KAUM #TigakaumutamadiMalaysia #orangasingdimalaysia

♬ original sound – racewonderland – racewonderland

Kisah wanita Jepun terbabit mendapat perhatian ramai rakyat Malaysia di alam maya, terutamanya mereka yang pernah mengalami tekanan melampau (burnout) atau yang sedang menilai semula definisi kejayaan mereka sendiri.

Jadi, sementara sesetengah orang mungkin masih mengejar gaji lumayan, dia memilih ketenangan.