Kerajaan negeri Sarawak telah melancarkan syarikat penerbangan baharunya AirBorneo, menjadikan negeri itu yang pertama di Malaysia memiliki syarikat penerbangan pada Rabu baru-baru ini.
Pengumuman itu dibuat selepas kerajaan Sarawak memeterai perjanjian jual beli dengan Malaysia Aviation Group (MAG) untuk merasmikan pengambilalihan MASwings, syarikat saudara syarikat penerbangan Malaysia Airlines, lapor The Edge Malaysia.

Baca Juga:
- Sarawak Bakal Bina Litar Lumba Bertaraf Dunia
- China Desak Malaysia Henti Semua Aktiviti Di Kawasan Minyak Dekat Sarawak
- Silap Label Sabah Dan Sarawak, Proton Dikecam Warganet
“Dengan mengambil langkah strategik ini, kami meletakkan Sarawak sebagai hab penerbangan untuk Borneo dan pintu masuk ke Asean, membuka pintu kepada peluang baharu dan memupuk ketersambungan dan kebolehcapaian yang lebih besar ke destinasi domestik dan antarabangsa yang akan memberi manfaat kepada komuniti tempatan dan perniagaan kami,” kata Perdana Menteri Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada majlis menandatangani perjanjian di Kuching.

AirBorneo sedia perkhidmatan tambang berpatutan
AirBorneo bersedia untuk mewujudkan keseimbangan antara ketersambungan, tambang berpatutan dan faedah ekonomi, kata Premier Sarawak itu.
“Beroperasi sebagai syarikat penerbangan perkhidmatan penuh (FSC), AirBorneo boleh meningkatkan pengalaman penumpang dengan ketara melalui perkhidmatan dalam penerbangan yang unggul. Ini akan menekankan prestij serantau Sarawak sebagai destinasi pelancongan premium,” katanya.
Abang Johari berkata, AirBorneo akan terus memberi tumpuan kepada perkhidmatan udara luar bandar sebelum berkembang lagi pada masa hadapan.

“Ia akan terlibat dalam perkongsian strategik dan perjanjian perkongsian kod dengan syarikat penerbangan antarabangsa lain termasuk Malaysia Airlines, untuk meluaskan lagi jangkauan rangkaian dan meningkatkan ketersambungan global untuk Sarawak,” katanya.
Petik laporan itu lagi, Sarawak mahu AirBorneo turut terbang di peringkat antarabangsa termasuk ke Jerman, Korea Selatan, Jepun, Hong Kong dan Thailand.
Sarawak juga telah mencadangkan lapangan terbang antarabangsa baharu di Kuching untuk ketersambungan yang lebih baik.

Di bawah MAG, MASWings terutamanya memberi perkhidmatan kepada kawasan luar bandar dengan pesawat turboprop, melalui laluan dalam Sabah dan Sarawak dengan lapan ATR 72-500s dan enam DHC- 6-400 Twin Otters.
Syarikat itu kini terbang ke 22 destinasi termasuk Brunei atas perkongsian kod dengan pangkalan utama di Kota Kinabalu dan Miri.