Seorang wanita terkejut apabila menemui kotoran yang kelihatan seperti bangkai di dalam tin susu sejat semasa proses membersihkannya untuk kitar semula, lapor Majoriti.

Kejadian tersebut berlaku semasa wanita tersebut sedang bersiap untuk berbuka puasa baru-baru ini.

Melalui hantaran di platform Twitter yang dimuatnaik oleh pengguna @stvik, wanita tersebut mendedahkan bahawa kejadian itu terjadi ketika dia ingin membersihkan tin susu tersebut selepas menggunakan isinya.

Difahamkan bahawa keluarganya telah menyimpan susu sejat sebagai bahan memasak sepanjang bulan Ramadan.

“Beli susu cair tu untuk bekalan Ramadan. Biasanya kami tebuk dua lubang saja senang nak tuang nanti. Lepas habis guna terus simpan dalam peti sejuk.

“Hari Jumaat, kakak saya masak scramble eggs tambah susu cair. Tapi masa tu susu cair tinggal sikit dan sebab ada benda keras di bawah, jadi dia buat keputusan nak letak di sinki.

“Hari Ahad, baru rajin nak kitar semula barang dan bersihkan tin. Masa goncang air di dalam tin, ada cecair keruh keluar,” tulisnya.

Lebih mencemaskan, wanita tersebut menyedari bahawa susu sejat yang tercemar itu mungkin menjadi punca kepada sakit perut yang dialami oleh keluarganya selepas mengambil hidangan telur yang dimasak dengan susu sejat tersebut.

Reaksi marah dan kebimbangan warga maya turut mengalir apabila cerita ini dikongsi, dengan ramai meminta agar syarikat pengeluar tin tersebut memberikan penjelasan dan tindakan lanjut.

Cadangan juga diberikan kepada wanita tersebut untuk membawa tin tersebut ke Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi siasatan lanjut.

Sumber