Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mendedahkan nilai harta dua anak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, hari ini.

Memetik Berita Harian, pengisytiharan harta itu antaranya membabitkan pegangan aset dan saham.

Baca Juga:

“Kedua-dua mereka mematuhi permintaan saya dan juga keputusan penyiasat untuk mengisytiharkan harta yang mereka miliki termasuk juga pegangan aset, saham dan sebagainya.

“Jadi saya berpuas hati dengan pengisytiharan harta berkenaan oleh kedua-duanya,” katanya pada sidang media, hari ini.

Berdasarkan pengisytiharan harta yang dikemukakan kepadanya yang bernilai lebih RM1.2 bilion; Tan Sri Mokhzani Mahathir memiliki aset bernilai kira-kira RM1 bilion manakala Mirzan Mahathir sebanyak RM246.2 juta.

Jumlah aset keseluruhan Mokhzani bernilai kira-kira RM1 bilion dengan aset peribadi sebanyak RM360 juta.

Sementara Mirzan pula asetnya adalah sebanyak RM246.2 juta dengan aset peribadi sebanyak RM120 juta.

“Ada berbentuk aset, ada juga dalam pegangan saham dan sebagainya yang kita ambil kira serta menolak liabiliti yang mereka tanggung.

“Jadi, persepsi ini saya kena betulkan kerana kadang-kadang kami dihujani dengan pelbagai soalan mengatakan adakah betul mengenai pemilikan harta (mereka),” katanya.

Memetik laporan itu lagi, tegasnya, semua data berkenaan adalah daripada pegawai forensik SPRM. Pada masa sama beberapa penilaian dibuat terhadap jumlah aset yang diisytiharkan oleh mereka.

“Ini adalah mengenai pengisytiharan harta, namun siasatan membabitkan kedua-dua mereka masih diteruskan,” katanya.

Terdahulu, SPRM memanggil kedua-dua anak kepada bekas Perdana Menteri Tun Mahathir bagi membantu siasatan melalui pengisytiharan harta.

Siasatan dijalankan di bawah Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Sumber