Seperti yang kita sedia maklum,penunggang motosikal yang melawan arus sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang ‘superbike’ di Lebuhraya Sungai Besi Ulu Kelang (SUKE) berhampiran Ulu Kelang sudah pun menyerahkan dirinya kepada pihak polis.
Terbaru, anak kepada mangsa nahas tersebut menyuarakan hasratnya mahu berjumpa dengan penunggang motosikal tersebut selepas dimaklumkan pihak polis berhubung tindakan suspek yang menyerah diri.

Baca Juga:
- Insiden Maut Ducati: Suspek Cedera Agak Parah Serah Diri, Dakwa Lawan Arus Sebab Tersesat
- Gara-Gara Elak Penunggang Motosikal Lawan Arus, Rider Ducati Maut Terjatuh ‘Flyover’
Memetik Harian Metro, Muhammad Hafidz Ahmad Fadzil, 36, mendedahkan bahawa beliau mahu mendengar sendiri alasan daripada individu tersebut yang menunggang motosikal secara melawan arus hingga mengorbankan bapanya, Ahmad Fadzil Omar Azzadin, 62.
“Saya juga dimaklumkan pegawai penyiasat kes bahawa individu itu mengalami kecederaan akibat kemalangan berkenaan. Polis memaklumkan supaya saya menangguhkan hasrat bertemu lelaki terbabit memandangkan kesihatan lelaki itu tidak mengizinkan.”
“Namun, saya tetap mahu bertemu penunggang motosikal itu. Saya mahu mendengar daripada mulut dia sendiri, kenapa dia menunggang melawan arus,” ulas beliau secara lanjut.
Tambah Muhammad Hafidz lagi, beliau berasa sangat terkilan dengan tindakan suspek serta ahli keluarganya yang tidak tampil menjelaskan perkara yang berlaku serta meminta maaf kepadanya sekeluarga meskipun kejadian itu menjadi bualan ramai di media sosial.
Bahkan, keluarga beliau juga sudah reda dengan apa yang berlaku dan boleh memaafkan si pelaku. Dalam pada itu, Hafidz mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang banyak memberikan kata semangat serta komen positif kepada mereka sekeluarga terutama sekali ibunya.