Kes Zayn Rayyan semakin hangat menjadi bualan di media sosial selepas peguamnya menarik diri dari membela ibu bapa mangsa baru-baru ini.
Bagaimanapun, peguam bernama Mahmud Abdul Jumaat kini menegaskan bahawa beliau masih mewakili ibu kepada Zayn Rayyan yang ditahan reman bagi membantu siasatan kes bunuh kanak-kanak autisme itu.

Menurut Sinar Harian, peguam berkenaan menerusi satu kenyataan di media sosial telah berkongsi tindakan itu dibuat berdasarkan pertimbangannya selepas berjumpa dengan keluarga.

“Untuk pengetahuan semua, saya masih mewakili ibu arwah Zayn Rayyan. Kami telah hadir ke Mahkamah tempoh hari mewakili Isma (ibu Zayn Rayyan).
“Ini adalah atas pertimbangan saya untuk mewakili ibu Zayn Rayyan selepas berjumpa dengan keluarga mereka,” katanya lagi.
Selain daripada itu, beliau turut berterima kasih kepada keluarga Isma kerana tampil mengesahkan keberadaan peguam itu sepanjang kes itu berlangsung.
“Apapun saya ucapkan terima kasih kepada keluarga Isma (ibu arwah Zayn Rayyan) atas pencerahan yang dibuat dengan mengesahkan bahawa kami sememangnya membantu keluarga mereka dari awal kes.
“Orang berbudi kita berbahasa. Kalau tidak mahu ucapkan terima kasih sekalipun sekurang-kurangnya janganlah kita sakiti hati orang membantu kita,” katanya dalam kenyataan di media sosial.
Menerusi kenyataan sama, Mahmud tampil menafikan pelantikan beliau sebagai peguam kepada ibu bapa Zayn Rayyan sebelum ini atas inisiatif pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti yang didakwa oleh datuk Zayn Rayyan.
“Kerana itulah saya agak hairan berkenaan dengan butiran (point) pertama kenyataan media yang dibuat oleh datuk arwah tempoh hari mengenai tiada pelantikan peguam secara rasmi oleh keluarga ke atas saya.
“Perlu ke sampai nak buat kenyataan media? Seolah-olah sengaja melakukan provokasi terhadap saya,” katanya.
Difahamkan pada 31 Mei lalu beliau dihubungi oleh keluarga bapa Zayn Rayyan pada jam 11 malam memaklumkan ibu bapa kanak-kanak itu akan dibawa ke Mahkamah Petaling Jaya untuk permohonan reman.
Susulan itu, beliau dengan seikhlas hati ingin membantu kerana bersimpati pada pasangan suami isteri yang sudah kehilangan anak dan kini direman atas sebab orang yang disyaki (OYDS).
Bahkan, Mahmud mendedahkan keluarga Zaim dan ibu kepada bapa Zayn Rayyan secara khususnya tampil mendapatkan khidmat nasihat daripadanya untuk sepanjang tempoh reman itu.
“Waktu itu saya tidak terfikir ini bakal menjadi satu isu yang akan dibangkitkan oleh pihak keluarga bapa arwah Zayn Rayyan.
“Walhal tiada kewajipan untuk surat perlantikan peguam secara rasmi bagi kes jenayah. Asalkan pihak OYDS atau wakil keluarga OYDS sudah setuju untuk melantik peguam tersebut sudah memadai.
“Apatah lagi sebelum saya masuk ke dalam mahkamah, telah saya sahkan dengan keluarga ibu bapa sendiri untuk memberikan amanah ini kepada saya bagi bantahan reman.
“Tidak perlu dibincangkan lagi bahawa saya memang ada di mahkamah pada hari tersebut, hanya kami peguam yang dipanggil oleh keluarga mereka. Kalau tak lantik kami, kami dipanggil untuk jadi apa?,” jelasnya.
Beliau lalu berkongsi telah dihubungi oleh datuk arwah Zayn Rayyan menerusi aplikasi WhatsApp pada Ahad yang menyatakan permohonan maaf tentang apa yang berlaku.
Jadi, beliau meminta agar isu pelantikan tersebut tidak berbangkit lagi di masa kelak.
Untuk makluman, pada 4 Jun lalu, Mahmud telah membuat penarikan diri secara drastik atas sebab tertentu. Namun selepas itu, timbullah pelbagai spekulasi yang direka oleh pengguna media sosial pada ketika itu.