“Saya memiliki rumah yang cantik, kereta, kerja yang bagus dan kewangan yang stabil. Namun segalanya berakhir selepas saya muncul dalam dokumentari itu (Al Jazeera),” luah Rayhan Kabir.

Itulah luahan Rayhan Kabir kepada laman berita Bangladesh, Dhaka Tribune baru-baru ini dalam satu temu bual yang diadakan selepas pengusirannya dari Malaysia.

Beliau sebelum ini diusir daripada Malaysia selepas membuat kemunculan dalam dokumentari kontroversi Locked Up In Malaysia Lockdown terbitan Al Jazeera dan ditahan hampir selama sebulan kerana komen yang diberikannya.

Mengimbas kembali mengenai apa yang perlu dilaluinya sebelum ini, Rayhan bukan saja menjelaskan beliau kehilangan segala-galanya namun turut mendedahkan dia tidak dihubungi oleh sesiapa pun daripada Al Jazeera selepas ditangkap.

Rayhan bagaimanapun menjelaskan ianya adalah pilihannya sendiri untuk tidak menutup muka dan kekal sebagai anonymous dalam dokumentari tersebut.

Hal itu katanya kerana apa yang dilakukannya dalam dokumentari tersebut tidak melanggar undang-undang negara ini dan tidak menyangka akan meletakkan dirinya dalam masalah seperti yang berlaku sebelum ini.

“Bercakap mewakili masyarakat bukanlah perkara asing dalam hidup saya kerana pernah berbuat demikian banyak kali sebelum ini.

“Bagaimanapun, saya tidak pernah terfikir yang bercakap tentang kebenaran akan membawa masalah sebanyak ini kepada saya,” katanya.

Justeru itu Rayhan dalam temu bual tersebut menjelaskan akan membuka buku baru dalam kehidupannya dan tidak lagi akan menoleh ke belakang.

Antara yang bakal dilakukannya selepas ini adalah untuk menyambung pengajian peringkat tinggi berkait undang-undang pendatang asing (migration law) dan  bekerja untuk memastikan hak pekerja asing terjaga.

Baca kembali saga antara Rayhan Kabir dan netizen Malaysia sebelum ini yang pernah kami kongsikan di pautan di bawah. 

Netizen Meluat Lelaki Bangladesh Ini Cuba Raih Simpati Walaupun Mengaku Mereka Adalah PATI

Laporan Salah Al Jazeera Bangkitkan Kemarahan Rakyat Malaysia

Kepulangan Rayhan Kabir Ke Bangladesh Disambut Dengan Air Mata Kegembiraan

Sumber