Bayangkan pada satu ketika, anda memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dengan keuntungan syarikat mencecah jutaan ringgit.

Namun sekelip mata, hidup berubah arah dan anda kini mencari rezeki dengan menghantar makanan. Inilah realiti yang dihadapi oleh Indera Aria Wee Jeeny, seorang bapa kepada dua cahaya mata yang berusia 40 tahun.

Bangunkan aplikasi delivery makanan

'Saya Terpaksa Korek Duit Syiling Beli Makanan' – Kisah Bekas CEO Syarikat RM6 Juta Kini Jadi Rider
Sumber Gambar: Harian Metro

Pada Oktober 2019, Indera telah mengasaskan platform pesanan dan penghantaran makanan tempatan yang dikenali sebagai ODA Malaysia.

Platform ini berkembang dengan sangat pantas dan berjaya mendominasi pasaran Pantai Timur sebagai salah satu pemain utama di Kelantan, Terengganu, dan Kedah.

Pada zaman kegemilangannya, ODA Malaysia menguruskan sekitar 3,000 orang rider yang aktif serta mencatatkan keuntungan luar biasa mencecah RM6 juta.

Malah, syarikat tersebut turut menjadi rakan strategik di bawah Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

‘Ada pihak kaut keuntungan’

Namun, langit tidak selalunya cerah. Bermula Januari 2021, syarikat beliau mengalami perubahan nasib yang drastik. Indera mendakwa bahawa perniagaannya berdepan kerugian besar selepas alamat Protokol Internet (IP) syarikat dipercayai telah dijual kepada pesaing oleh pihak tertentu demi kepentingan peribadi.

Insiden tamak ini menyebabkan pendapatan syarikat merudum teruk daripada jutaan ringgit, ia susut kepada RM40,000 hingga RM80,000 sahaja sebelum syarikat itu akhirnya terpaksa gulung tikar.

Sebagai seorang pemimpin yang bertanggungjawab, Indera sanggup mencairkan aset peribadinya ketika syarikat sedang bergelut semata-mata untuk memastikan stafnya terus menerima gaji.

Namun, selepas perniagaannya gagal, fasa kehidupannya menjadi sangat perit.

“Bukan mudah untuk bangkit kembali kerana apabila saya mula-mula jatuh, saya terpaksa mengorek duit syiling semata-mata untuk membeli makanan… Saya juga terpaksa berjalan kaki dalam jarak yang jauh kerana tidak mempunyai kenderaan,” kongsi Indera mengimbau kembali saat terendah dalam hidupnya.

Ujian bertambah berat apabila beliau mula menyedari perubahan layanan orang sekeliling. Rakan-rakan yang suatu ketika dahulu rapat mula menjauhkan diri, seolah-olah bimbang beliau akan meminjam wang.

“Ia amat menyakitkan kerana semasa saya senang, saya pernah membantu mereka,” luahnya dengan rasa kecewa.

Tekanan kewangan dan kehilangan sokongan hampir membuatkan Indera berputus asa untuk membina semula kehidupannya. Namun, segalanya berubah selepas beliau berbual dengan salah seorang bekas rider kendaliannya.

Walaupun rider tersebut hanya meraih RM20 pada hari itu, dia kelihatan sangat ikhlas dan gembira kerana wang itu sudah memadai untuk membelikan makanan buat anaknya.

“Kata-kata itu memberikan saya motivasi dan harapan untuk bangkit semula,” kata Indera, yang kini melihat kehidupannya dari perspektif yang baharu.

Hari ini, bekas CEO yang dahulunya memimpin ribuan pekerja ini bekerja sendiri sebagai rider penghantar makanan. Beliau juga mengambil upah menjalankan pelbagai urusan harian buat pelanggannya, seperti membeli barangan dengan caj bayaran sekitar RM5 hingga RM10 sahaja.

Lebih manis lagi, pengalaman jatuh bangun ini telah membentuk beliau menjadi insan yang lebih prihatin.

Indera kerap kali berhenti ketika sedang membuat penghantaran untuk membantu pengguna jalan raya yang berdepan kerosakan kenderaan, seperti tayar pancit atau bateri mati.

Beliau juga pernah menyantuni sebuah keluarga yang terputus bekalan makanan selama dua minggu.

“Saya pernah berada di bawah dan hilang harapan, jadi saya tidak mahu orang lain merasai perkara yang sama,” jelasnya.

Bagi Indera Aria, kejatuhan empayar perniagaannya bukanlah satu titik noktah, sebaliknya merupakan satu pelajaran berharga. Walaupun kini beliau kembali mencari rezeki di jalanan, api semangatnya untuk membina semula perniagaan dari bawah tidak pernah padam.

“Saya juga bertekad untuk bangkit semula sebagai usahawan yang berjaya dan mencipta peluang pekerjaan, supaya saya dapat membantu lebih ramai orang di luar sana,” azamnya dengan penuh keazaman.