Jepun sememangnya destinasi percutian impian bagi jutaan individu di seluruh dunia. Namun, dengan jumlah pelawat asing yang merekodkan angka tertinggi melepasi paras 40 juta buat pertama kalinya tahun lalu.
Oleh itu, negara matahari terbit ini kini dilaporkan berdepan dengan satu cabaran besar iaitu overtourism atau lambakan pelancong.

Bagi menangani masalah kesesakan dan isu kelakuan buruk pelancong yang semakin meruncing, kerajaan Jepun sedang merangka satu strategi baharu.
Langkah tersebut adalah dengan membangunkan garis panduan sistem “Dua Harga” (Dual Pricing) di kemudahan pelancongan awam.
Apa Itu Sistem ‘Dua Harga’?
Secara ringkasnya, ia adalah penetapan harga tiket atau caj perkhidmatan yang berbeza antara penduduk tempatan dan pelancong luar.
Melalui sistem ini, pelancong asing berkemungkinan perlu membayar harga yang lebih tinggi berbanding warga tempatan bagi mengakses sesebuah kemudahan atau tarikan pelancongan.
Mengapa Kerajaan Jepun Campur Tangan?
Walaupun hak menetapkan harga terletak pada pengusaha atau pengendali kemudahan pelancongan, Menteri Pengangkutan Jepun, Yasushi Kaneko, menegaskan bahawa kerajaan perlu menyediakan panduan yang teratur.
Menurut beliau, langkah ini bukan sekadar untuk mengaut keuntungan, tetapi untuk kelestarian jangka panjang.
“Adalah penting harga ditetapkan dengan cara yang membolehkan perniagaan mengekalkan operasi dan kualiti perkhidmatan mereka pada masa hadapan,” jelas Kaneko dalam satu sidang media baru-baru ini.
Kementerian Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan Jepun juga dijangka akan menubuhkan sebuah panel pakar bagi memperhalusi butiran garis panduan ini.
Langkah Yang Sudah Mula Dilaksanakan
Sistem penetapan harga berbeza ini sebenarnya bukanlah sesuatu yang asing di Jepun. Agensi Pelancongan Jepun menyatakan bahawa pelbagai kemudahan sudah pun menawarkan diskaun khusus untuk penduduk tempatan atau kemasukan percuma untuk kanak-kanak.
Kini, pelaksanaannya mula diperluaskan ke skala yang lebih besar di lokasi tumpuan utama:
Istana Himeji: Bermula Ahad lalu, Tapak Warisan Dunia ini telah menaikkan yuran kemasukan secara drastik bagi pengunjung bukan penduduk tempatan berusia 18 tahun ke atas, iaitu daripada 1,000 yen (sekitar RM25) kepada 2,500 yen (~RM62.63).
Pengangkutan Awam Kyoto: Bandar raya bersejarah yang sering sesak dengan pelancong ini sedang mempertimbangkan untuk menaikkan tambang bas awam bagi pelawat menjelang tahun fiskal 2027. Pada masa yang sama, kadar tambang rata bagi penduduk tempatan akan diturunkan.
Muzium Nasional: Kerajaan Jepun telah meminta pihak muzium kebangsaan untuk mengkaji dan mempertimbangkan pengenalan sistem dua harga ini menjelang hujung Mac 2031.
Strategi ini mungkin mengejutkan sesetengah bakal pelancong, namun ia dilihat sebagai satu langkah realistik dan perlu.
Langkah proaktif ini dibuat bertujuan mencari keseimbangan yang harmoni dalam memastikan Jepun terus kekal sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.
Dalam masa sama, mampu memelihara keselesaan penduduk tempatan serta menyelenggara prasarana awam mereka dengan baik.