Syarikat Sony sedia memperkenalkan sebuah edisi istimewa konsol PlayStation 5 bersempena ulang tahun ke-30 di dalam pasaran.
Koleksi PlayStation 5 Pro 30th Anniversary Edition menampilkan sejumlah kosmetik unik padanya termasuklah logo telah dicat dengan empat warna asal sewaktu diperkenalkan pada model terawal dan hanya ditawarkan dalam jumlah yang terhad sekaligus menjadi rebutan peminat di luar sana.

Seorang netizen berjaya menemui satu penyenaraian bundle konsol terbabit yang dijual menerusi platform Carousell.
Walaupun boleh dijangka harganya akan meningkat tinggi, netizen masih terkesima melihat kegilaan seorang scalper yang sanggup meletakkan harga semahal RM30,000 untuk konsol PS5 dan PS4 Anniversay edition yang sudah menyamai dengan nilai sebuah kereta atau motor mewah.

Hantaran tersebut langsung meraih perhatian netizen lain dan rata-ratanya menggelarkan harga yang ditawarkan sebagai sesuatu yang tidak masuk akal sama sekali.
Malah, salah seorang netizen turut sempat berunding dengan individu terbabit yang mana dia mahu jual kedua-dua konsol sekaligus atau dijual secara berasingan iaitu RM25,000 untuk model PS5 Pro sahaja.
Sebagai info tambahan, konsol PS5 Pro edisi bersempena ulang tahun ke-30 ini boleh didapatkan dengan harga sekitar RM5,000 ke RM6,000 sahaja.
Ramai hanya berseloroh meminta individu terbabit untuk terus bermimpi dalam mengaut keuntungan mudah menerusi penjualan konsol Sony PS edisi terhad ini dengan harga tidak masuk kerana tiada yang sanggup membelinya.