Pemuda yang tular di media sosial baru-baru ini susulan satu video memaparkan dirinya sedang ditenangkan oleh anggota bomba di tepi lebuh raya, akhirnya tampil memberikan penjelasan bagi meredakan spekulasi orang ramai.

Menerusi satu respon yang dikongsikan oleh individu berkenaan, beliau mengesahkan bahawa dirinya berada dalam keadaan selamat dan menjelaskan situasi sebenar yang dihadapinya.

Ibarat ‘Banjir Besar’ Yang Datang Mengejut

Mengulas mengenai penularan video dan foto berkenaan, pemuda tersebut menyifatkan ujian emosi yang dilaluinya ketika itu sebagai satu perkara luar jangkaan, ibarat pasang surut air yang tiba-tiba dilanda banjir besar.

Berikut adalah kenyataan penuh daripada beliau:

“Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Saya lelaki di video tersebut. Alhamdulillah semuanya baik-baik sahaja. Biasalah air ada pasang surut, tetapi tiba-tiba banjir besar, kita terkejut juga. Kena ambil masa untuk surutkan kembali.”

 

View on Threads

 

Rayu Netizen Henti Sebar Kenyataan Pelik

Sedar akan pelbagai teori dan andaian yang timbul dalam kalangan warga maya sejak kisah itu tular, pemuda ini turut menitipkan pesanan agar orang ramai tidak terus membuat spekulasi liar atau mengeluarkan sebarang kenyataan yang tidak sahih.

Beliau pada masa sama menzahirkan rasa hargai atas keprihatinan seluruh rakyat Malaysia yang tidak putus-putus memberikan sokongan moral kepadanya.

“Kepada semua, tolong jangan keluarkan apa-apa kenyataan yang pelik-pelik ya. Terima kasih juga kepada semua yang mendoakan saya. Terima kasih juga kepada semua yang ambil berat tentang saya,” katanya lagi.

Terdahulu, perkongsian pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya yang memaparkan keperihatinan anggota mereka memujuk seorang pemuda (Abang RX-Z) di tepi jalan telah meraih pujian daripada netizen.