Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang telah menahan seorang lelaki dalam satu serbuan di flat Projek Perumahan Awam (PPR), di Air Itam, Pulau Pinang.

Difahamkan pemuda berusia 27 tahun mampu meraih RM1,000 sehari hasil berniaga baju jenama tiruan di media sosial selama enam bulan.

Baca Juga:

Serbuan itu mendapati flat PPR yang disewa RM500 sebulan itu dijadikan stor simpanan stok baju tiruan oleh pemuda tersebut, lapor Harian Metro.

Pemeriksaan ke atas premis berkenaan menemukan baju tiruan menggunakan cap dagangan berdaftar pelbagai jenama ternama disyaki palsu yang memenuhi segenap ruangan flat PPR yang terletak di aras paling bawah sehingga hampir mencecah siling premis terbabit.

Sumber Gambar: MalaysiaGazette

“Jumlahnya terlalu banyak dan belum habis dikira tetapi pihak kami sudah menyita 5,050 helai baju menggunakan cap dagangan jenama berkenaan untuk siasatan lanjut yang dianggar bernilai RM40,400.

“Serbuan itu dijalankan selepas pihak kami menerima aduan daripada pemilik wakil cap dagang dengan modus operandi kes ialah lelaki terbabit menjalankan aktiviti jualan melalui siaran langsung menggunakan aplikasi media sosial,” katanya kepada pemberita.

Mogan berkata, berdasarkan siasatan awal, lelaki itu mendakwa dia telah menyimpan stok baju tersebut yang diperoleh daripada pembekal dari Kuala Lumpur sejak 2020 namun dia hanya mula menjual barangan tersebut termasuk secara langsung menerusi platform TikTok sekitar pertengahan tahun lalu.

Sumber Gambar: BERNAMA

Tambahnya lagi, beliau turut tidak menolak kemungkinan baju yang dijual pada harga serendah RM8 tersebut akan dipasarkan secara lebih meluas menjelang musim perayaan Tahun Baharu Cina akan datang.

“Lelaki itu kini ditahan bagi membantu siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Akta Cap Dagangan 2019 dengan KPDN mengalu-alukan maklumat dan aduan orang awam berhubung aktiviti penjualan barangan tiruan,” katanya.

Sumber