Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mencatat sejarah baharu semalam apabila Mejar Jeneral Johnny Lim dinaikkan pangkat ke Leftenan Jeneral, menjadikannya pegawai berbangsa Cina pertama yang berjaya menyandang pangkat tiga bintang dalam sejarah negara, lapor Malay Mail.

Majlis pemakaian pangkat yang penuh simbolik itu disempurnakan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Nizam Jaffar, dan turut disaksikan semua panglima perkhidmatan utama.

ATM
Gambar hiasan

Suasana majlis itu bukan sekadar meraikan kejayaan seorang pegawai kanan, tetapi juga menjadi tanda bahawa ATM terbuka dan progresif dalam meraikan kepelbagaian kaum di dalam organisasinya.

Kenyataan Rasmi ATM

Dalam kenyataan rasmi ATM, pemimpin tertinggi pasukan pertahanan negara itu menegaskan bahawa pencapaian Johnny Lim ini adalah bukti jelas bahawa peluang dalam tentera tidak bergantung kepada latar belakang kaum, tetapi atas asas merit, dedikasi dan khidmat cemerlang kepada negara.

ATM
Gambar hiasan

“Penaikan pangkat ini diharap mampu menarik minat anak muda daripada pelbagai etnik untuk bersama menyertai kerjaya mulia sebagai anggota angkatan tentera,” kata ATM dalam kenyataan tersebut.

Latar Belakang Johnny Lim

Dilahirkan di Melaka, Leftenan Jeneral Johnny Lim mendapat pendidikan awal di SK St Francis dari tahun 1973 hingga 1978 sebelum melanjutkan pelajaran ke SMK St Francis (1979–1983).

Minat mendalam terhadap khidmat negara membawanya menyertai Kursus Perkhidmatan Tetap ke-25 sebelum berjaya menamatkan latihan di akademi ketenteraan berprestij, Royal Military Academy Sandhurst di United Kingdom.

ATM
Gambar hiasan

Sejak itu, beliau mengharungi pelbagai cabaran dalam Rejimen Renjer Diraja sehingga diberi kepercayaan untuk menduduki antara jawatan tertinggi dalam struktur ATM.