Filem Papa Zola The Movie dilihat mendapat reaksi yang positif dalam kalangan rakyat tempatan kerana berjaya memperlihatkan jerih perih seorang ayah yang sanggup melakukan apa-apa sahaja demi keluarga tersayang.
Menariknya, satu hantaran yang dimuat naik oleh seorang rider di platform TikTok memperlihatkan gelagat pelanggan si cilik yang memberikan mesej istimewa lalu sebahagian netizen mengaitkan ia sebagai impak daripada filem sensasi tersebut.
Rider itu mendakwa segala penat lelahnya langsung membaca nota ringkas yang diberikan oleh si cilik kepadanya.

Nota bertarikh 24/12 itu berkata ” Terima kasih abang Foodpanda. Terima kasih untuk menghantar makanan untuk kami waktu sedang cuti sekolah.
“Abang sangat hebat!!! Kalau saya…saya penat tau!!! Abang pula, hebat sangat!! Semoga dimurahkan rezeki” disamping turut membuat lakaran yang menunjukkan dua kana-kanak sedang teruja melihat rider tersebut dan dilihat sebagai adiwira.
Sementara seorang netizen berkata “Impak papazola. Ramai yang menghargai dan dihargai. Moga bro dikurniakan rezeki dan dipermudahkan urusan”.
Dalam pada itu, rider itu sendiri mengakui filem ini sebenarnya telah memberi satu perubahan ketara apabila kebanyakkan tempahan mesti diselitkan tips walau seringgit.
Jadi, dia percaya filem ini telah memberikan impak yang agak besar terhadap masyarakat.

Tambahan pula, perkara ini turut mendapat perhatian pihak pencipta Papa Zola The Movie sendiri yang langsung kemudian dikongsikan di laman media sosial mereka.

Sedikit maklumat tentang filem ini, ia mengisarkan tentang Papa Zola sebagai seorang bapa yang sangat gigih bekerja demi menyara keluarganya.
Selepas tidak lagi menjadi kapten atau cikgu, dia melakukan pelbagai pekerjaan sambilan termasuklah menjadi seorang rider penghantar makanan (food delivery rider) dan pemandu van sekolah.
Matlamatnya cuma satu iaitu mahu mengumpul duit secukupnya untuk membawa anaknya, Pipi Zola, pergi bercuti.