Pelajar memerlukan bukan setakat buku untuk berjaya dalam pembelajaran. Mereka memerlukan makanan, pakaian, tempat tinggal dan keperluan-keperluan asas lain demi membina keyakinan mereka di dalam dan luar bilik darjah.

Tersedar dengan keperluan itu, pengurusan dan badan perwakilan pelajar sebuah sekolah di Washington, North Carolina bernama Washington High School telah menubuhkan sebuah pantri yang membekalkan keperluan harian pelajar kurang berkemampuan seperti makanan, produk kebersihan diri, peralatan persekolahan dan pakaian.

Untuk mengelakkan stigma daripada rakan-rakan sebaya, pelajar boleh mendekati pihak pengurusan sekolah secara peribadi untuk mengambil barangan keperluan mereka, di mana kebanyakan barangan yang disediakan disasarkan untuk golongan remaja.

"Jika kita mahu prestasi akademik pelajar bertambah baik, kita perlu pastikan keperluan asas pelajar-pelajar dipenuhi," kata Misty Walker, pengetua sekolah itu. "Kami mahu mengukuhkan masyarakat, dan persekolahan adalah salah satu aspek penting (wawasan) itu."

pantri-01
Washington High School

Idea menyediakan pantri ini bermula apabila Walker tersedar akan keperluan pelajar-pelajarnya yang kian bertambah. Walaupun Washington High menyediakan makanan percuma dan makanan berdiskaun, ada daripada kalangan pelajar tidak mempunyai makanan lain di rumah dan hanya akan makan makanan seterusnya pada keesokan harinya di sekolah, kata Walker.

Dalam diam-diam, pelajar-pelajar juga mula menemuinya untuk meminta barangan harian seperti berus dan ubat gigi.

Apabila semakin banyak keperluan didedahkan, Walker meminta nasihat rakan kongsi sekolah itu, iaitu sebuah organisasi yang menumpukan kepada pembangunan sekolah dan masyarakat bernama Bright Futures. Bersama-sama dengan organisasi itu, pihak pengurusan sekolah, dan badan pelajar membina almari berisi produk-produk kebersihan diri.

Setelah usaha itu berjaya, penderma tempatan membantu mengembangkan servis mereka kepada penyediaan barangan persekolahan, pantri makanan dan almari berisi pakaian.

pantri-02
Washington High School

"Ia adalah konsep yang sedikit berbeza kerana fokus kami adalah untuk membantu pelajar-pelajar kami," kata Walker.

Untuk mendapatkan barangan keperluan, pelajar hanya perlu menemui guru, kaunselor atau pihak pengurusan. Kakitangan sekolah itu kemudian akan membawa mereka "membeli-belah" di dalam pantri, yang terletak di dalam kawasan sekolah.

Sistem ini membantu para remaja mendapatkan keperluan asas mereka, di samping merapatkan lagi komuniti sekolah.

pantri-03
Washington High School

Setelah 6 minggu program ini berjalan, Walker menganggarkan kira-kira 15 peratus daripada jumlah pelajar telah menggunakan kemudahan ini.

Dengan cuti Thanksgiving menghampiri, sekolah ini memastikan semua stok mencukupi agar pelajar-pelajar tidak perlu menempuh kepayahan sepanjang cuti panjang.

"Ada sesetengah pelajar kami yang memerlukan, tetapi mereka malu meminta," kata Walker.

"Tetapi apabila mereka mula membina hubungan baik (dengan kaunselor atau guru) yang melayan mereka dengan profesional, dan benar-benar prihatin (dengan keperluan mereka), ia membantu membina keberanian dan harga diri mereka."

Semoga idea "Pantri Derma" di atas merebak ke sekolah-sekolah di Malaysia.

BACA: Kisah Inspirasi Seorang Pelajar Miskin Yang Teringin Ke KLCC Dikurniakan Rezeki Melalui Guru Prihatin

BACA: 7 Perkara Yang Anda Perlu Tahu Jika Ingin Berkahwin Dengan Cikgu

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram