Sejak beberapa minggu lalu, nama air mineral ‘Bubbles O2’ menjadi bualan dan rebutan orang ramai.
Menurut netizen, difahamkan beberapa lokasi jualan air mineral itu sentiasa kehabisan stok.
Ramai mengakui air tersebut berbeza dengan air-air mineral yang lain. Khasiat yang ada dalam air itu membuatkan ramai yang terkena beberapa penyakit kembali sihat semula selepas meminum Bubbles O2.
Bagaimanapun didapati terdapat satu lokasi di mana air mineral itu diwakafkan dan orang ramai boleh datang untuk mengambilnya secara percuma.
@lizanora73 Pertama kali ambil air kat sini lepas tau khasiat air mineral Bubbles O2, Produk Melayu yang patut kita support!! Air Mineral beroksigen sumber bawah tanah semulajadi mempunyai kandungan oksigen terlarut yang tinggi mampu memberi manfaat kesihatan seperti meningkatkan sistem imunisasi, memperbaiki penghadaman, melarutkan tisu lemak, menambah tenaga dan banyak lagi. Rasa lembut je lalu kat tekak,takda rasa tapi sedap 😍👍 #bubbleso2 #rantau #negerisembilan
Menerusi hantaran video TikTok @lizanora73, air Bubbles O2 itu boleh ditadah secara percuma di Al Ammar Complex yang terletak di Negeri Sembilan. Di situ juga terletaknya ibu pejabat Bubbles O2.
Satu notis diletakkan di situ memberitahu bahawa air wakaf tersebut hanya boleh diambil pada hari Isnin hingga Sabtu bermula pukul 8.30 pagi hingga 6.30 petang sahaja.
Bagaimanapun orang ramai tidak dibenarkan untuk menadah air wakaf Bubbles O2 itu pada hari Ahad dan cuti umum. Namun, satu komen dikongsikan TikTok @bubbleso2hq menyatakan hari Sabtu juga ditutup.

Untuk makluman, air mineral Bubbles O2 ditemui ketika kerja-kerja meratakan kawasan pembinaan Kompleks Al Ammar, Kampung Kanchong Rantau pada 2018.
Memetik Berita Harian, hasil kajian mendapati ia mempunyai kandungan mineral yang baik dan kandungan oksigen terlarut yang sangat tinggi, iaitu melebihi 100 peratus.
Dan pengesahan kandungan oksigen telah diperakui oleh makmal bertauliah.