Andai menyebut nama Selamat Asrin, mungkin ramai akan terbayang sosok tubuh yang tenang, namun cukup memukau dan penuh tenaga.
Selamat berdiri di sudut jalanan Kuala Lumpur dengan muzik yang keluar bukan sekadar dari alat tetapi dari hatinya sendiri.
Sebagai seorang yang menghidap autism, Selamat atau nama panggilan popularnya, Mattu Mercury telah membawa dunianya ke dalam nada dan lirik lagu ciptaannya sendiri hanya dalam sekelip mata.
Batasan? Bagi Selamat, autism bukanlah penghalang buatnya untuk menghiburkan orang lain berbekalkan ‘ketinggian suara yang tidak mampu dilawan oleh mana-mana penyanyi’, seperti yang sering kali diperkatannya.
Dirinya membuktikan bahawa keunikan dan cara tersendiri mampu menghasilkan karya yang bukan sahaja menghiburkan tetapi juga membuatkan ramai tersenyum, tertawa dan terpikat dengan keletah serta kata-katanya yang spontan.
Bait-bait kata seperti, “Banyakla cekadak kau dan suara sampai bilik air” sering kedengaran terutamanya ketika anak jati Kampung Murni Jaya, Layang-Layang, Johor itu bersiaran langsung di Facebook dan TikTok, bersama pempengaruh media sosial dan bekas wartawan tersohor, Zainal Rashid Ahmad yang merupakan pengasas ZRA Strim.
Selamat Asrin: Dari Pemuzik Jalanan Otai Kepada Artis Rakaman
Sejak 1983, Selamat Asrin mula mengukir namanya di sekitar Kuala Lumpur dalam membawa muzik jalanan dengan caranya sendiri.
Lahir pada 1968, dia bukan sekadar busker biasa tetapi Selamat mencipta muzik dengan mulutnya sendiri, kebenaran tersebut diakui sendiri oleh Zainal Rashid, teman baiknya sejak lebih 30 tahun lalu.
Satu tempoh masa yang cukup panjang dan juga turut menandakan betapa lamanya Selamat Asrin mewarnai jalanan Kuala Lumpur, dari hentian bas Klang hingga ke Laman Pasar Seni dan terbaharu kini di Bukit Bintang.
Ia adalah manifestasi personaliti dan kreativiti Selamat yang tulen serta tidak pernah pudar meskipun melalui dekad-dekad perubahan budaya jalanan.

Perjalanan Selamat tidak berhenti di situ. Selepas bertahun-tahun mengekalkan tradisi busking, dia akhirnya melangkah ke dunia rakaman.
Dibantu oleh seorang lagi teman baiknya iaitu Ammal Bellamy [Naib Juara Akademi Fantasia 2016 & gitaris The ExAct] sebagai penerbit, Selamat Asrin sudah memiliki albumnya sendiri.
Pelancaran album di TGSK Ampang malam tadi bukan sahaja menjadi bukti pencapaian artistik tetapi juga sejarah sebagai menjadi artis autism pertama di Malaysia.
Lebih membanggakan, 100 unit album fizikal yang dikeluarkan habis terjual dalam masa kurang dari 10 minit.
Kini, Selamat Asrin bukan sekadar ikon busking tetapi dia adalah simbol ketekunan dan semangat yang tiada batas walaupun walaupun autism memberikan cabaran tertentu, dia tetap menunjukkan passion yang tiada tandingan terhadap muzik.
Dirinya telah menghubungkan komuniti, memukau peminat dan membuktikan bahawa muzik sebenar tidak mengenal sekatan hanya hati yang mendengar dan keberanian yang beraksi.
Malah, pencapaian Selamat turut memberikan kekuatan dan inspirasi kepada ibu bapa yang mempunyai anak autism.
Ini menunjukkan bahawa dengan sokongan, kesabaran dan ruang untuk berkembang, anak-anak mereka juga mampu menonjolkan bakat, mengejar minat dan membuktikan bahawa autism bukan penghalang untuk berjaya serta bersinar dalam bidang keparakan masing-masing.
Perjalanan Selamat Asrin membuktikan satu perkara jelas iaitu keunikan dan keberanian tidak boleh diukur dengan norma semata-mata.
Autism yang dimilikinya bukan penghalang, sebaliknya menjadi sebahagian daripada kekuatannya hingga menjadikannya artis yang asli, kreatif, dan mampu menyentuh hati ramai.
Seperti tulusnya Zainal Rashid, Ammal dan rakan-rakan Selamat dalam menyantuninya, kita tidak wajar memandang rendah kemampuan individu autism kerana setiap insan dengan nasib sebegitu punya potensi luar biasa yang menunggu untuk disemai dan dihargai.