Kelab Bolasepak Selangor (Selangor FC) mengumumkan bahawa tidak akan beraksi pada perlawanan pembukaan Piala Sumbangsih 2024/25 yang dijadualkan berlangsung pada Jumaat ini.

Seperti dilaporkan petang tadi, Malaysian Football League (MFL) telah menolak permohonan Selangor untuk menangguhkan perlawanan tersebut ekoran kejadian tidak diingini yang dihadapi Muhammad Faisal Abdul Halim.

Sehubungan itu dengan melihatkan kepada beberapa faktor terutamanya aspek keselamatan, skuad Gergasi Merah memilih untuk tidak beraksi pada perlawanan tersebut.

Perkembangan terkini itu disahkan Selangor FC menerusi satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan di laman sosial rasmi kelab tersebut.

“Selangor FC telah mengambil maklum keputusan MFL untuk tetap meneruskan perlawanan Piala Sumbangsih yang dijadualkan berlangsung pada 10 Mei 2024 ini.’’

“Setelah penelitian dijalankan dan perbicangan terperinci dengan pelbagai pihak berikutan rentetan dari insiden jenayah serta ancaman yang baru berlaku melibatkan beberapa pemain dan pegawai pasukan dalam tempoh hanya 72 jam, pihak kelab terpaksa mengambil keputusan yang amat sukar untuk TIDAK HADIR ke Perlawanan Piala Sumbangsih 2024 yang telah lama kelab ini nantikan.’’

“Berdasarkan keadaan semasa yang tidak menentu, kami di Selangor FC menegaskan keselamatan pasukan adalah perkara paling utama dan kami memandang serius akan segala bentuk keganasan dan ancaman serta tidak akan berkompromi dengan sebarang isu berkaitan keselamatan pasukan.’’

“Segala kesulitan amat dikesali,’’ tambah kelab itu lagi.