Sekiranya anda membesar dari era 2000-an, pastinya anda cukup kenal dengan syarikat Miniclip yang aktif menawarkan pelbagai permainan yang boleh dimainkan secara terus di laman sesawang. Berbekalkan internet dan komputer, orang ramai berpeluang bermain permainan yang menyeronokkan.
Terbaharu, Miniclip secara rasminya menutup pelayannya yang menempatkan sejumlah permainan berasaskan flash secara dalam talian. Dengan ini, tiada lagi permainan baharu yang ditawarkan kepada pengguna sekiranya datang mengunjungi laman tersebut selepas ini.
Baca Juga:
- Aplikasi iPhone Ini Bakal Kembalikan Nostalgia Anda Menggunakan iPod Classic
- Kembalikan Nostalgia Dengan Permainan ‘Contra’ Pada Telefon Pintar Anda
Terdapat dua faktor yang mendorong kepada kejatuhan Miniclip. Antara faktor utamanya adalah disebabkan oleh penutupan Adobe Flash pada hujung 2020. Hal ini mengakibatkan sokongan untuk Flash Player tidak tersedia lagi. Susulan itu, permainan berasaskan flash tidak dapat dimainkan lagi pada pelayar web moden.
Satu lagi faktor yang menyebabkan keadaan ini berlaku adalah kewujudan permainan dalam pelbagai bentuk menerusi sejumlah peranti yang lebih moden dan mudah diakses oleh pengguna. Pengguna kini lebih selesa bermain permainan menerusi telefon pintar dan tablet yang lebih kompak.
Oleh itu, syarikat Miniclip dilaporkan sudah mula beralih kepada penyedia permainan berasaskan aplikasi yang boleh dimuat turun pada platform yang biasa digunakan oleh pengguna hari ini. Bagaimanapun, nostalgia laman permainan ini akan sentiasa terpahat di dalam ingatan kepada mereka yang sempat menggunakannya.