Bersempena dengan sambutan hari lahir yang ke-61, pelakon dan pelawak Hong Kong, Stephen Chow kini mengumumkan rancangan untuk mengarahkan filem komedi terbaharu ‘Shaolin Women’s Soccer’, lapor Dimsum Daily.
Pengumuman tersebut telah menarik perhatian orang ramai berhubung klip rakaman yang mendedahkan skrip filem tersebut.
Baca Juga:
- Stephen Chow Buka Akaun Instagram Semata-Mata Untuk Cari Bakat Web3
- Stephen Chow Sahkan ‘Kung Fu Hustle 2’ Sudah Mulakan Penggambaran Selepas 15 Tahun
Difahamkan, ini bakal menjadi projek filem pertamanya sejak mengarahkan ‘The New King of Comedy’ pada 2019. Tambah pelakon Shaolin Soccer itu, filem itu bakal menjadi produksi antarabangsa.
Oleh itu, Chow menyeru kepada golongan wanita yang berbakat dari seluruh dunia untuk hadir dalam pencarian bakat untuk filem terbabit.
Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa tidak mahu berlakunya pemalsuan atau penyuntingan gambar. Chow berkata beliau hanya akan menerima permohonan yang sahih dan memenuhi syarat yang telah ditetapkan.
Dalam pada itu, pembantunya, Chris mengesahkan pencarian bakat akan dilakukan melalui e-mel dan butiran lanjut bakal diumumkan kemudian.
Sewaktu ditanya mengenai pelakon yang bakal membarisi filem itu, Chris menjelaskan mereka lebih tertumpu pada pencarian bakat buat masa ini. Manakala butiran produksi filem itu belum dimuktamadkan lagi.
Sementara itu, Chow turut berkata demikian dalam satu hantaran di Instagram rasmi miliknya.
Dalam hantaran tersebut mendedahkan sebuah buku yang tertera draf pertama filem berkenaan.
“Semua gadis dari seluruh dunia dialu-alukan. Lebih ramai lebih bagus!
“Bagi mereka yang layak, sila hantar gambar terkini dan maklumat terperinci ke [email protected].
“Foto yang disunting tidak akan diterima. Ia bakal dikritik oleh kami dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu!” tulisnya secara berseloroh di akaun Instagramnya.
Sesiapa yang membesar dengan karya Shaolin Soccer, anda sudah pasti tidak sabar untuk menonton filem ini yang bakal dipenuhi dengan aksi komedi seperti sebelumnya.