Bagi anak perantau Kelantan yang sering berulang-alik melalui jalan Gua Musang-Kuala Krai, anda mesti kenal sangat dengan sebatang pokok tualang gergasi yang berdiri megah di tepi jalan, kan?

Selama bertahun-tahun, pokok ini bukan sekadar pokok biasa, tapi dah jadi mercu tanda bagi pengguna jalan raya di kawasan Kampung Sungai Bayu. Namun, baru-baru ini, dilaporkan bahawa pokok ikonik tersebut sudah sah ditebang dan hanya tinggal kenangan.

Berita sedih ini mula tular selepas satu sesi siaran langsung (live) di TikTok akaun Zorro memaparkan kerja-kerja penebangan pokok tersebut. Video itu mendapat tontonan tinggi, rata-ratanya daripada rakyat Kelantan yang berasa sayu melihat pengakhiran pokok berkenaan.

Di ruangan komen, ramai meluahkan rasa kehilangan dengan ayat, “Tak dok doh la (tiada lagi) mercu tanda lepah ini,” dan “Alhamdulillah, pokok tular tak dok doh”.

Pernah Viral Sebab ‘Kebal’ & Ada Kisah Mistik

Bukan saja-saja pokok ni jadi terkenal. Sebelum ini, pokok tualang yang dianggarkan berusia antara 120 hingga 150 tahun ini pernah menjadi bualan hangat sebab dikatakan mempunyai penunggu.

Menurut cerita orang ramai dan laporan media, pokok ini seolah-olah ‘kebal’. Bayangkan, sudah empat kali cubaan dilakukan untuk menebangnya sebelum ini, tapi semuanya gagal. Malah, lebih menyeramkan, pekerja yang terlibat dalam percubaan tersebut dikatakan jatuh sakit dan demam panas lebih seminggu.

Persiapan Rapi: Solat Hajat & Bacaan Al-Quran

Disebabkan sejarah ‘mistik’ pokok setinggi 60 meter ini, kali ini pihak kontraktor tak ambil mudah.

Zillullah Zakaria, wakil Pengurusan Trafik projek jalan Lingkaran Tengah Utama (LTU), berkongsi bahawa mereka telah mengadakan solat hajat dan bacaan al-Quran terlebih dahulu sebelum memulakan operasi.

Berkat usaha dan doa, proses penebangan kali ini berjalan lancar tanpa sebarang gangguan pelik. Operasi mengambil masa kira-kira lima jam, bermula jam 7 pagi dan pokok tersebut berjaya ditumbangkan sepenuhnya sekitar jam 12 tengah hari.

Kenapa Kena Tebang Juga?

Mesti ada yang tanya, kenapa tak biarkan saja pokok tu kat situ

Sebenarnya, pokok ini terpaksa dikorbankan demi pembangunan projek lebuh raya Lingkaran Tengah Utama (LTU) Pakej 2A. Kedudukan pokok ini betul-betul berada di tepi kaki jalan laluan baru tersebut.

Sebelum ini, Jabatan Perhutanan pernah melarang pokok ini ditebang kerana dianggap sebagai khazanah negeri.

Tapi selepas perbincangan lanjut dengan JKR dan mengambil kira faktor keselamatan serta reka bentuk jalan, keputusan berat terpaksa dibuat untuk menebangnya.

Maka, berakhirlah riwayat pokok tualang yang penuh dengan lagenda ini. Walaupun pokoknya dah tiada, kisahnya pasti akan terus disebut-sebut oleh orang Gua Musang dan Kuala Krai.