Bekas pengendali pasukan Indonesia, Shin Tae-yong menegaskan beliau mendapat banyak tawaran untuk menguruskan skuad kebangsaan negara lain selepas dipecat oleh Persatuan Bola Sepak Seluruh Indonesia (PSSI).
Tae-yong dipecat selepas dianggap tidak memenuhi sasaran yang ditetapkan dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2026 dan beliau digantikan dengan bekas pemain skuad kebangsaan Belanda iaitu Patrick Kluivert.
Baca Juga:
- Bekas Penyerang Liverpool Jadi Pilihan Sertai Patrick Kluivert
- Shin Tae-Yong Tak Puas Hati Cara PSSI Memecatnya
- Ini Alasan Erick Thohir Pecat Shin Tae-Yong
“Keputusan ini dibuat berdasarkan pertimbangan yang panjang dan matang serta evaluasi yang dilakukan oleh Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia dan Badan Tim Nasional secara menyeluruh terhadap persembahan pasukan dan tujuan jangka masa panjang yang ingin dicapai oleh pasukan bola sepak Indonesia.”
“PSSI berterima kasih dan menghargai semua sumbangan yang telah diberikan bagi pembangunan Tim Nasional Sepakbola Indonesia.”
“PSSI berharap yang terbaik bagi Shin Tae-yong untuk ke masa hadapan,” ujar PSSI.
Bercakap kepada media Indonesia, Tae-yong berkata beliau menerima banyak tawaran untuk menguruskan skuad kebangsaan beberapa negara namun memutuskan untuk berehat terlebih dahulu sebelum kembali melatih pasukan.
“Tawaran yang diberikan kepada saya terlalu banyak. Namun ada masalah yang perlu diselesaikan. Jadi saya belum ambil sebarang tugas kerana mahu berehat buat sementara waktu,” kata Shin Tae-yong.
Sebelum ini, Tae-yong menyuarakan rasa tidak puas hati dengan cara pemecatan beliau yang secara tiba-tiba tanpa sebarang notis dari PSSI.
“Saya diberitahu tentang pemecatan saya pada pukul 09:40 pagi tanggal 6 Januari, dan pada siang hari tersebut saya telah diberitahu bahawa ketua jurulatih baharu akan tiba.
“Saya tidak dapat memahami keputusan ini, namun saya menerimanya dengan rendah hati. Selama lima tahun, saya bekerja keras dan bangga telah membangunkan asas untuk sepak bola Indonesia,” katanya.
Anak kepada Tae-yong iaitu Shin Jae-won turut bersuara dimana beliau mahu melihat sejauh mana pasukan itu boleh pergi tanpa kelibat ayahnya.
“Mari kita tengok sejauh mana mereka boleh pergi tanpa kelibat ayah. Dia sudah memberikan segalanya bagi memastikan Indonesia mencapai tahap sekarang.
“Saya mempunyai banyak pendapat mengenai bagaimana PSSI melayan ayah saya. Namun saya akan berdiam diri,” katanya.