Singapura kini berada di tengah-tengah perdebatan global berikutan kenyataan kontroversi yang dibuat oleh Elon Musk yang mengatakan bahawa negara itu – bersama beberapa negara lain – sedang ‘menuju kepupusan’, lapor South China Morning Post.

Tahun 2023 menandakan titik sejarah bagi Singapura apabila kadar kesuburan keseluruhan (TFR) mencapai 0.97 – yang paling rendah dalam sejarah negara.

Sebagai perbandingan, angka ini jauh di bawah kadar penggantian penduduk iaitu 2.1, yang diperlukan untuk memastikan populasi yang stabil.

Antara sebab-sebab mengapa angka ini merosot adalah semakin ramai wanita di Singapura dalam usia reproduktif memilih untuk kekal bujang dan fokus pada kerjaya mereka.

Pasangan yang berkahwin juga cenderung untuk menangguhkan melahirkan anak, terutamanya wanita dalam lingkungan 20-an.

Selain itu, harga rumah yang melambung tinggi, perbelanjaan anak-anak yang mahal, dan cabaran kestabilan ekonomi membuatkan ramai pasangan muda berfikir dua kali untuk membina keluarga.

Fenomena ini bukan sahaja berlaku di Singapura sebenarnya, negara maju lain seperti Korea Selatan, Jepun, dan juga beberapa negara Eropah menghadapi masalah yang sama.

Dalam menghadapi kekurangan tenaga kerja akibat kadar kelahiran yang rendah, Singapura beralih kepada teknologi robotik sebagai penyelesaian segera.

Negara itu kini menjadi salah satu peneraju dalam penggunaan robot, dengan 770 robot untuk setiap 10,000 pekerja – angka kedua tertinggi robot di dunia.

Elon Musk, Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, menyatakan bahawa cara Singapura menggunakan robot mungkin mampu untuk menyelesaikan krisis demografi global.

Singapura telah menunjukkan caranya dengan menggunakan robot untuk industri seperti pembuatan dan penyelenggaraan.

Walau bagaimanapun, sekuat mana pun teknologi, ia tidak dapat menggantikan sepenuhnya peranan manusia.

Dalam jangka panjang, masyarakat yang bergantung kepada robotik mungkin menghadapi masalah baharu seperti kehilangan pekerjaan dan keseimbangan sosial.

Selain teknologi, Singapura juga bergantung kepada imigrasi global untuk meningkatkan populasinya.

Pada 2023, lebih 23,000 warga asing telah diberikan kewarganegaraan, manakala lebih 34,000 menjadi pemastautin tetap.

Pendekatan ini membantu memastikan ekonomi terus berkembang.