Pemimpin tertinggi Korea Utara Kim Jong Un telah memecat jeneral tertinggi tentera serta menggesa lebih banyak persediaan untuk perang dibuat. Antaranya adalah meningkatkan pengeluaran senjata dan memperkuatkan latihan ketenteraan, lapor Reuters yang memetik media rasmi Korea Utara KCNA.

Kim mengeluarkan arahan tersebut pada mesyuarat Suruhanjaya Tentera Pusat yang membincangkan rancangan tindakan balas untuk menghalang musuh Korea Utara, yang tidak dinamakannya, kata laporan itu.

Baca Juga:

Jeneral tertinggi negara, Ketua Staf Am Pak Su Il dipecat tanpa sebarang sebab. Dia telah berkhidmat sebagai jeneral tertinggi selama kira-kira tujuh bulan.

Pak digantikan oleh Jeneral Ri Yong Gil, yang sebelum ini berkhidmat sebagai menteri pertahanan, serta komander tertinggi tentera konvensionalnya.

Kim juga mengeluarkan arahan agar kapasiti pengeluaran senjata ditingkatkan. Minggu lalu dia melawat kilang senjata dan meminta lebih banyak enjin peluru berpandu, artileri dan senjata lain dibina.

Kim juga menyeru agar tentera menjalankan latihan dengan senjata dan peralatan terkini negara itu untuk memastikan pasukannya bersedia untuk pertempuran, kata laporan itu.