Dengan jalan cerita yang unik, watak dilakonkan oleh pelakon A-list serta suntikan kelainan pada plot bagi drama tersebut, siapa sahaja yang tidak suka akan drama Korea?
Jika sebelum ini kecoh di media sosial dengan drama World of Married yang mengisahkan konflik balas dendam antara pasangan suami isteri yang curang, kini drama The Penthouse pula menjadi tumpuan.
Walaupun mempunyai ‘vibes’ yang hampir sama dengan penceritaan kisah curang antara pasangan, tetapi drama terbaru ini tampil dengan lebih banyak konflik yang pasti membuatkan darah anda ‘naik ketika menontonnya.
Buat anda yang masih belum menonton, drama The Penthouse ni menceritakan tentang tiga wanita yang bercita-cita tinggi tetapi disebabkan keserakahan untuk berjaya, perkara tersebut telah mengubah mereka dengan cara yang tidak dapat mereka bayangkan.
Wanita pertama merupakan seorang wanita yang dilahirkan dalam kekayaan dan dikenali sebagai ratu di dalam Penthouse tersebut. Watak tersebut dinamakan sebagai Shim Soo Ryeon dan telah dilakonkan oleh Lee Ji Ah.
Wanita kedua pula merupakan primadona yang kaya dan mempunyai perwatakan yang sombong di dalam drama tersebut. Watak tersebut dinamakan sebagai Cheon Seo Jin dan telah dilakonkan oleh Kim So Yeon.
Selain daripada dua watak yang dilahirkan dengan kekayaan, terdapat juga watak ketiga iatu Oh Yoon Hee yang dilakonkan oleh Eugene.
Berbeza dengan dua watak terdahulu, Oh Yoon Hee telah dilahirkan dalam keadaan yang miskin tetapi beliau berusaha memasuki masyarakat kelas atasan untuk memastikan kehidupan yang lebih baik buat anak perempuannya.
Drama ini difahamkan membawa sedikit kelainan daripada kisah k-drama yang lain dengan menonjolkan pembahagian antara golongan elit dan kelas pekerja serta bagaimana mereka berusaha untuk terus berjuang dan kekal berada bersama golongan kelas atasan.
Disebabkan tayangan perdana drama The Penthouse pada 26 Oktober yang lepas mencatatkan penilaian yang tinggi, berikut kami senaraikan 5 sebab kenapa drama ini telah trending di seluruh dunia.
1. Cerita yang memberi tumpuan kepada wanita
The Penthouse secara mudahnya membincangkan sejauh mana Shim Soo Ryeon, Cheon Seo Jin, dan Oh Yoon Hee akan bertindak dalam menguasai dalam bidang harta dan pendidikan untuk anak-anak mereka.
Walaupun memiliki rupa paras yang cantik dan anggun, Shim Soo Ryeon mempunyai muslihat yang tersendiri di mana beliau sebenarnya ingin membalas dendam terhadap mereka yang telah merosakkan kehidupan anaknya.
Manakala, Cheon Seo Jin pula dinobatkan sebagai soprano terbaik Korea sejak zaman sekolahnya, dan sekarang beliau akan melakukan apa sahaja untuk mendapatkan apa yang beliau mahukan di dalam hidup.
Walaupun Oh Yoon Hee telah bersusah payah dalam membahagiakan anak perempuannya namun lama kelamaan beliau mula sedar akan keinginan beliau untuk menjadi sebahagian daripada masyarakat elit.
2. Dipenuhi dengan konflik dan dendam
Watak di dalam drama ini sering merancang sesuatu dan saling mengancam antara satu sama lain. Tidak lupa juga plot seperti ‘bertukar semasa kelahiran’ dan banyak lagi.
Spoiler alert bagi sesiapa yang belum tonton drama ini, jika dilihat pada teaser drama tersebut terdapat gambaran yang jelas bahawa ia akan dipenuhi dengan konflik dan dendam.
Melalui teaser tersebut dapat dilihat seorang gadis jatuh ke dalam pancuran di dalam penthouse tersebut, Shim Soo Ryeon dilihat ketakutan dan Cheon Seo Jin memberi peringatan yang tidak menyenangkan kepada seseorang.
3. Menunjukkan kelas sosial di Korea
Siapa sahaja yang tengok akan drama ini mesti akan berasa geram dan tidak puas hati pada ketidakadilan masyarakat yang berstatus elit pada mereka orang biasa.
Lokasi yang terletak di Hera Palace, Seoul, pangsapuri mewah yang mangandungi 100 tingkat itu hanya boleh didiami jika anda tergolong di dalam masyarakat korea yang berstatus elit.
Spoiler alert! seperti yang dilihat di dalam drama tersebut anak-anak yang membintangi drama tersebut sanggup melakukan apa sahaja supaya diterima di Sekolah Menengah Cheong A Arts.
Sekolah tersebut merupakan antara sekolah seni di Korea yang mengajar murid-murid mengasah bakat dalam muzik klasik. Walaupun ada di antara mereka yang diterima masuk kerana bakat murni mereka, ada juga yang masuk melalui kenalan dan pengaruh hebat mereka di sekolah tersebut.
Drama ini dengan jelas menggambarkan bagaimana mereka yang berada di dalam kelas elit dapat memperoleh apa sahaja yang mereka mahukan tidak kira masa tanpa perlu memikirkan akibat daripada tindakan mereka.
Bukan itu sahaja, drama tersebut turut menggambarkan mereka yang tergolong di dalam kelas kurang bernasib baik perlu berjuang untuk mencapai impian setiap hari.
4. Menunjukkan isu sosial dunia
Drama ‘The Penthouse’ telah menunjukkan beberapa masalah yang menghadapi masyarakat pada zaman sekarang. Antaranya, stratifikasi sosial dan diskriminasi antara orang kaya dan miskin.
Drama ini juga membahas tentang isu buli yang berlaku di sekolah. Walaupun begitu, drama lain juga sering menjadikan buli sebagai tema utama K-drama seperti Angry Mom dan School 2015: Who Are You?
Namun bukan itu sahaja drama ini turut menunjukkan peningkatan di dalam isu pembunuhan, bunuh diri, harta dan isu ekonomi bagi negara Korea Selatan.
5. Mempunyai nilai keibuan tetapi bersifat tamak
Ibu mana yang tidak sayang anak kan? seperti yang dipaparkan di dalam drama ini, walaupun ketiga -tiga watak utama tersebut mempunyai latar belakang yang berbeza namun mereka semua mempunyai ciri-ciri keibuan yang sama.
Mereka sanggup lakukan apa sahaja demi anak-anak mereka walaupun begitu, disebabkan terdapat kisah disebalik kehidupan masing-masing, mereka telah bertindak tamak.
K-drama The Penthouse ini sememangnya telah menarik minat penonton kerana berdasarkan tayangan perdana pada 26 Oktober yang lepas, ia telah mencatatkan penilaian yang tinggi dengan melebihi 10 peratus di seluruh negara hanya selepas menayangkan episod kedua bagi drama tersebut.
Jika sesiapa yang ingin menonton drama ini tetapi masih ragu-ragu tentang jalan cerita drama itu, diharapkan dengan penilaian yang kami huraikan dapat membantu sedikit sebanyak persoalan mengenai drama tersebut.
Baca juga perkongsian kami sebelum ini mengenai 5 sebab usahawan muda perlu tonton drama korea Start-Up pada pautan di bawah.
Selepas Itaewon Class, Ini 5 Sebab Usahawan Muda Perlu Tonton Drama Korea Start-Up
‘Trending’ Di Netflix, Ini 5 Sebab Kenapa Anda Patut Tonton Filem The Call
Berjaya Cipta Fenomena, Netflix Bakal Keluarkan Siri Money Heist Versi Korea Buat Para Peminat