Adakah anda seorang pemilik hartanah di Negeri Selangor? Jika ya, ini satu peringatan penting untuk anda!

Bermula tahun 2024, Pejabat Tanah Negeri Selangor tidak lagi menghantar bil cukai tanah atau cukai petak secara fizikal kepada pemilik hartanah.

Jadi, anda perlu ambil tindakan proaktif untuk menyemak dan memastikan bayaran dibuat tepat pada masanya. Untuk memudahkan urusan ini, Portal Awam e-Tanah Selangor kini tersedia untuk semakan dan pembayaran secara dalam talian.

Dalam erti kata lain, anda boleh membuat pembayaran secara cashless atau tanpa tunai! Bukan sahaja urusan anda akan lebih mudah, malah lebih selamat dan pantas. Menarik bukan?

Tanggungjawab sebagai pemilik hartanah

Pejabat e-Tanah Selangor

Sebagai pemilik hartanah, adalah penting untuk sedar bahawa pembayaran cukai tanah dan cukai petak adalah tanggungjawab anda.

Bermula tahun 2024, anda tidak perlu lagi menunggu bil tiba di rumah kerana sistem lama telah digantikan dengan inisiatif digital yang lebih efisien. Kini, anda boleh terus menyemak jumlah cukai dan membuat pembayaran secara atas talian tanpa sebarang masalah.

Kenapa Portal Awam e-Tanah Selangor?

Pejabat e-Tanah Selangor

1. Mudah dan pantas

Portal ini direka dengan antara muka mesra pengguna, membolehkan anda menyemak dan membuat bayaran hanya dengan beberapa klik sahaja.

2. Tanpa tunai, lebih selamat

Bayaran melalui portal ini menggalakkan transaksi tanpa tunai, menjadikan urusan anda lebih selamat dan mengurangkan risiko kehilangan wang tunai.

3. Boleh diakses pada bila-bila masa

Buat anda yang sering terlepas pandang atau mengalami masalah untuk menyimpan surat bayaran semasa, kehadiran portal ini sangat membantu anda. Anda kini boleh mengakses portal pada bila-bila masa sahaja untuk mengetahui jumlah bayaran terkini.

4. Elakkan tunggakan dan denda

Risau dikenakan tunggakan atau denda gara-gara terlupa tarikh bayaran? Kini anda tidak perlu lagi risau kerana portal e-Tanah Selangor menawarkan ciri peringatan dan kemudahan untuk membuat bayaran awal. Serius membantu!

Langkah-langkah untuk semak dan bayar

Pejabat e-Tanah Selangor

1. Layari Portal Awam e-Tanah Selangor melalui pautan rasmi.

2. Masukkan maklumat hartanah anda untuk membuat semakan.

3. Klik pada pilihan bayaran dan pilih kaedah pembayaran tanpa tunai seperti kad debit atau kad kredit.

4. Sahkan bayaran dan simpan resit digital anda sebagai bukti. Mudah bukan?

‘Semak awal, bayar awal, elak tunggakan’

Sebagai pemilik hartanah, langkah awal seperti menyemak dan membayar cukai tanah lebih awal bukan sahaja menjimatkan masa anda, tetapi juga memastikan anda tidak terlepas tarikh akhir pembayaran.

Menerusi tagline ‘Semak awal, bayar awal, elak tunggakan’, inisiatif ini menekankan kepentingan pengurusan hartanah yang bijak dan bertanggungjawab.

Jadi, tunggu apa lagi? Ayuh tonton video di bawah dan layari Portal Awam e-Tanah Selangor sekarang dan nikmati kemudahan digital yang ditawarkan. Masa depan adalah tanpa kertas, tanpa tunai, dan penuh kemudahan!