Transformasi digital dalam landskap perniagaan negara kini bukan lagi sekadar pilihan, tetapi satu keperluan mutlak. Sejak sistem e-Invois diperkenalkan secara berperingkat bermula 1 Ogos 2024, ramai yang melihatnya sebagai satu anjakan paradigma dalam pengurusan rekod kewangan.

Terbaharu, keberkesanan sistem ini terbukti apabila Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berjaya mengesan kepincangan yang agak mengejutkan: sebanyak RM3.5 bilion pendapatan yang tidak dilaporkan oleh pembayar cukai lapor Berita RTM.

Pendekatan Berhemah Membawa Hasil

Semakan LHDN Terbaru: RM3.5 Bilion Pendapatan Tidak Dilaporkan Melalui e-Invois
Sumber Gambar: Synergy Software

Daripada terus mengenakan penalti yang berat, LHDN mengambil langkah yang lebih diplomasi dan berperikemanusiaan.

Menyedari bahawa ada kalanya kesilapan berpunca daripada kekeliruan pengurusan, LHDN telah mengeluarkan peringatan mesra bagi menggalakkan pembayar cukai tampil membuat pengakuan secara sukarela.

“Kami memahami transisi ke arah pendigitalan penuh memerlukan masa. Oleh itu, peringatan awal ini adalah satu peluang untuk pembayar cukai memperbetulkan rekod mereka secara sukarela.

Namun, bagi mereka yang masih belum mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) selepas peluang ini diberikan, tindakan lanjut pasti akan diambil melalui proses audit dan penguatkuasaan yang lebih tegas,” jelas wakil pihak pengurusan LHDN.

Pendekatan serampang dua mata ini tegas namun memberi ruang yang membuahkan hasil yang luar biasa. Seramai 38,906 pembayar cukai telah tampil menyerahkan BNCP masing-masing.

Daripada pemutihan rekod ini, LHDN berjaya mengutip semula cukai tertunggak berjumlah RM760.7 juta daripada keseluruhan RM3.5 bilion pendapatan yang dilaporkan.

Operasi Nasional: Tiada Kompromi Buat Yang Culas

Walaupun kelonggaran diberikan, pemantauan tidak pernah berehat. Bagi memperkukuh integriti sistem ini, LHDN telah menggerakkan Operasi Semakan Pematuhan e-Invois Peringkat Nasional 2026.

Melalui operasi serentak yang dijalankan di seluruh negara bermula 20 hingga 24 April lalu, pegawai penguatkuasa turun padang untuk melihat sendiri realiti pelaksanaan di peringkat akar umbi.

Hasilnya, seramai 108 pembayar cukai telah dikenal pasti masih gagal melaksanakan e-Invois di bawah Fasa 1 dan Fasa 2. Angka ini mungkin kecil berbanding jumlah keseluruhan syarikat berdaftar, namun ia mesej yang jelas bahawa pihak berkuasa sentiasa memantau rapi setiap fasa pelaksanaan.

Evolusi Perniagaan yang Lebih Telus

Jika dilihat pada gambaran yang lebih besar, e-Invois sebenarnya sedang membentuk sebuah ekosistem perniagaan yang lebih sihat di Malaysia. Rekod LHDN menunjukkan sokongan yang sangat positif daripada komuniti peniaga:

Penyertaan Aktif: Seramai 225,604 pembayar cukai telah menggunakan sistem ini.

Transkasi Gergasi: Sebanyak 1.299 bilion e-Invois telah dikeluarkan sejak sistem ini bermula.

Ini bukan sekadar kejayaan mengutip cukai, tetapi satu bukti kukuh bahawa perniagaan di Malaysia semakin bersedia mendakap era pendigitalan.

Dengan pengurusan rekod yang lebih teratur, ketirisan dapat dibendung, dan peniaga sendiri dapat menikmati proses pengauditan dalaman yang lebih lancar dan efisien.